Ibu tunggal anak OKU terima rumah baru

Admin
(Dari kiri), SAIFUL Azli, Chek Yeok Lian, Mohd. Salleh Man dan wakil JKKK Permatang Pauh di depan rumah baru yang dijangka siap sebelum Ogos ini.
(Dari kiri), SAIFUL Azli, Chek Yeok Lian, Mohd. Salleh Man
dan wakil JKKK Permatang Pauh di depan rumah baru
yang dijangka siap sebelum Ogos ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PASIRInisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang membina semula sebuah rumah sederhana di Kampung Bukit Merah, di sini menjadi harapan baru kepada seorang ibu tunggal bersama-sama tiga anaknya.

Chek Yeok Lian, 38, peniaga kecil baru-baru ini berkata, anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) paling gembira dengan inisiatif itu.

“Terima kasih kepada YB Salleh Man kerana banyak membantu keluarga saya.

“Inisiatif Kerajaan Negeri dan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Permatang Pauh ini merupakan harapan baru untuk saya sekeluarga dan menjadi kegembiraan kepada anak saya yang OKU ini,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan langsung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dan Saiful Azli (Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Bahagian Pembangunan) dan wakil JKKK Permatang Pauh.

Sebelum pada itu, Mohd. Salleh yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Negeri Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata, inisiatif Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah (DTL) Seberang Perai Tengah (SPT) itu adalah hasil pemohonan Yeok Lian dan disokong oleh JKKK setempat.

“Keadaannya melayakkan beliau dibantu oleh Kerajaan Negeri. Sesiapa pun akan dibantu tanpa mengira kaum dan agama jika benarbenar layak,” ujar beliau.