Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga selaras visi Pulau Pinang 2030 – Chong Eng

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang bakal ditubuhkan di semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di  negeri ini ditugaskan untuk menyelaraskan program-program di bawah MMK Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi memastikan visi Pulau Pinang 2030 direalisasikan dengan sewajarnya.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, jawatankuasa berkenaan akan diterajui oleh beliau dengan sokongan PWDC dan juga wakil rakyat di 40 KADUN di negeri ini.

“Ketua Menteri dalam ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini ada menyatakan matlamat untuk menggalakkan persekitaran yang lebih inklusif dalam agenda kekeluargaan, sejajar dengan visi Pulau Pinang 2030 yang memfokuskan terhadap institutsi kekeluargaan, negeri hijau dan pintar.

“Sudah tentu, ia memerlukan penglibatan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) untuk bekerjasama menuju ke arah matlamat yang sama,” ujarnya ketika berucap pada sesi konsultasi bersama-sama wakil-wakil setiap KADUN di Komtar, tadi.

ANTARA ADUN dan wakil ADUN yang hadir pada sesi konsultasi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga di Komtar.

Menurut Chong Eng, selaku Exco berwajib, Kerajaan Negeri telah memberikan sokongan terutamanya dari segi kewangan untuk menjalankan program seperti pemerkasaan wanita dan pembangunan keluarga.

 

“Jadi saya berharap melalui JPWK, kita akan dapat mengatasi kekangan yang ada demi mencapai visi Pulau Pinang 2030.

 

“(Dan) saya juga mengalu-alukan semua cadangan serta pandangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat berhubung hasrat penubuhan JPWK ini sebagai jentera penggerak untuk memperkasakan golongan wanita, kelaki serta anak-anak dalam setiap keluarga di Pulau Pinang,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng dalam pembentangannya menyebut bahawa JPWK adalah sebuah ‘jawatankuasa oleh wanita demi wanita’ yang berperanan menjalankan program-program berteraskan wanita dan keluarga.

 

“Petunjuk-petunjuk Prestasi Utama atau KPI bagi JPWK salah satunya adalah mengadakan program yang melibatkan penduduk setempat dengan 80 peratus daripada peserta program perlulah dalam kalangan wanita.

 

“(Dan) program-program ini perlulah pelbagai iaitu perlu ada elemen pemerkasaan wanita, kepimpinan wanita, hentikan keganasan, mewujudkan rangkaian sokongan, berkonsepkan keibubapaan, perkahwinan, pemerkasaan kanak-kanak, kanak-kanak yang berkeperluan khas dan juga penjagaan orang tua.

“Buat masa ini, penubuhan jawatankuasa ini bersama-sama cadangan peruntukan akan dibawa kepada perhatian Exco untuk kelulusan,” jelasnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : TANUSHALINI MOROTER