Penutup besi dicuri, MPPP rugi RM120,000

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil langkah drastik memperhebatkan pemasangan penutup longkang berasaskan plastik di negeri ini berikutan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah individu sehingga menyebabkan kerugian hampir RM120,000 (kepada pihak majlis) sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, pada tahun ini, peratusan kes kecurian penutup longkang besi telah menurun, hanya 455 kejadian dilaporkan berbanding 978 pada tahun lalu.

“Penutup longkang terbabit telah digantikan dengan plastik yang diperkuat dengan gentian Fibre Reinforced Plastic-FRP. Ia menyukarkan individu tidak bertanggungjawab untuk ‘memperoleh duit dengan cara mudah’.

Menurutnya, setiap satu keping plastik yang digunakan berharga RM250 berbanding dengan penutup besi yang lebih mahal harganya iaitu RM500.

penutuplongkang

“Ia tidak lagi bernilai kepada pencuri mahupun penjual barangan terpakai berikutan plastik bukanlah barangan terpakai yang mempunyai nilai tinggi jika dibandingkan dengan besi.

Beliau berkata, sekiranya didapati pemilik kedai barangan terpakai membeli harta Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, mereka bakal berhadapan dengan penarikan semula lesen dan juga barangan tersebut akan dirampas di atas kesalahan memiliki harta kerajaan.

“Bagaimanapun, penutup besi yang hilang perlu digantikan semula dengan besi bagi mengelakkan sebarang risiko terutamanya kawasan yang dilalui oleh kenderaan berat seperti di Jalan Trusan menghala ke Lorong Perak.

Sementara itu, tambahnya, kehilangan penutup longkang besi di Jalan Macalister dan Jalan Burmah, Pulau Tikus akan digantikan dengan plastik.