Penyampaian pek keperluan harian tetap diteruskan sebagai tradisi – ADUN

Admin

AIR ITAM – Sungguhpun sambutan Hari Raya Aidilfitri mungkin berbeza tahun ini, namun insan kurang berkemampuan tetap dibantu seperti saban tahun.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang ketika menyampaikan pek barangan keperluan harian di surau Kampung Melayu semalam.

“Untuk kawasan Air Itam, inisiatif Nirvana Group menyumbang 200 pek barangan keperluan harian kepada surau-surau setempat untuk diserahkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

“Ini merupakan acara tradisi yang masih dapat kita teruskan sungguhpun sambutan hari raya dan majlis berbuka puasa tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini akibat wabak COVID-19,” ujar Soon Siang kepada Buletin Mutiara.

Soon Siang dalam pada itu, memberitahu bahawa penduduk setempat yang terkesan akibat COVID-19 diminta tampil mengajukan perkara tersebut kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

“Sebagai ADUN Air Itam tidak dinafikan kadang-kadang mungkin ada perkara yang terlepas pandang, justeru sebarang masalah boleh diadukan kepda MPKK dan kita akan cuba bantu setakat yang termampu,” katanya lagi.

Antara surau yang menerima pek barangan tersebut termasuklah surau di Desa Mawar, Jalan Zoo, Kampung Pisang dan Kampung Melayu sendiri.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gmabar : LAW SUUN TING