Penyediaan dan pembekalan rumah mampu milik negeri harus tepati piawaian dan capai kualiti terbaik, tegas Exco

BAYAN LEPAS – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa penyediaan dan pembekalan rumah mampu milik di Pulau Pinang perlu menepati piawaian dan kualiti perumahan yang ditetapkan.

Jagdeep berkata, setiap daripada projek perumahan Kerajaan Negeri yang dibina sama ada kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) ataupun rumah mampu milik (RMM) yang disediakan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mahupun pemaju swasta perlu mencapai tahap kualiti yang terbaik.

“Apabila merujuk kepada penyediaan atau pembekalan rumah mampu milik kepada rakyat, ia bermaksud skim perumahan yang selesa dan bermutu dengan keadaan sekeliling yang kondusif demi menjamin kehidupan lebih baik.

“Disebabkan itu, kita (Kerajaan Negeri) telah mengarahkan pihak PDC selaku pemaju bertanggungjawab untuk projek-projek perumahan negeri agar memastikan setiap projek yang dibangunkan berada pada tahap memuaskan dan berkeadaan baik sebelum kunci diserahkan kepada pembeli,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat ketika mengadakan lawatan kerja ke projek perumahan mampu milik Dua Residensi di Teluk Kumbar pagi ini.

Ketegasan tersebut diulangi beliau ekoran mendapat banyak rungutan daripada para pembeli projek rumah mampu milik dekat S.P.Chelliah yang dibangunkan pihak swasta baru-baru ini dikhabarkan menghadapi pelbagai masalah berbangkit.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi, wakil-wakil PDC dan pihak pemaju.

Justeru, bagi memastikan piawaian kualiti diikuti, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemaju swasta yang bertanggungjawab membangunkan rumah mampu milik negeri dalam tempoh terdekat.

“Disebabkan isu (S.P.Chelliah) tersebut, saya telah memutuskan untuk berjumpa dengan semua pemaju bertanggungjawab bagi memastikan projek-projek pembangunan rumah mampu milik di bawah Kerajaan Negeri mahupun swasta tidak berlaku hal sama.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan mereka (pemaju swasta), kita (Kerajaan Negeri) akan berikan peringatan dan amaran sekali lagi agar semua garis panduan dan kualiti sentiasa dijaga.

“Jika mereka ingin gunakan insentif untuk pembinaan rumah mampu milik (Kerajaan Negeri), mereka terlebih dahulu perlu memastikan kualiti produk akhir perumahan yang dibangunkan adalah terbaik dan tip top,” tegas beliau.

Difahamkan, Dua Residensi yang terdiri daripada 346 unit KSR, 348 (RMM) dan tujuh unit komersial telah siap dibangunkan oleh PDC dan kini sedang menunggu kelulusan daripada beberapa jabatan berkaitan sebelum sijil pematuhan kod (CCC) dijangka diperolehi Disember ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa projek Dua Residensi tersebut juga dijangka mendapat pengiktirafan skor Qlassic daripada CIDB Malaysia.

“Projek perumahan Suria 1 di Bandar Cassia yang dibangunkan PDC telah mendapat skor Qlassic 74%, justeru projek ini (Dua Residensi) juga dijangka mendapat skor yang sama selepas CCC diperolehi.

“Qlassic adalah tanda aras dalam menentukan kualiti kemahiran projek pembinaan serta mengukur kriteria, prestasi serta kualiti pemaju,” ujarnya.