Penyediaan SDD bantu Kerajaan Negeri sedia pelan tindakan lebih jelas – Exco

GEORGE TOWN – Penyediaan pecahan data mengikut jantina atau lebih dikenali sebagai Sex Disaggregated Data (SDD) yang disediakan Kerajaan Negeri memberikan gambaran lebih jelas dalam menyediakan pelan tindakan bagi memastikan ketidaksamarataan gender dan keadilan sosial ditangani sewajarnya.

SDD tersebut buat julung kalinya disediakan mengikut gender melibatkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diumumkan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan terkesan daripada pandemik COVID-19 baru-baru ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, pengumpulan data melalui SDD merupakan satu kaedah sistematik bagi menganalisis data pecahan mengikut gender bagi melihat impak terhadap pelaksanaan dasar sedia ada.

“Analisis SDD ini dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menambah baik dasar sedia ada atau memperkenalkan dasar baharu bagi memenuhi keperluan penduduk di negeri Pulau Pinang.

“Bangganya, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang menerajui Dasar Keterbukaan Gender (DKG) bagi mengurangkan ketidaksamarataan jantina sekaligus meningkatkan kesedaran sivik masyarakat,” ujarnya pada sidang media sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Secara rawaknya daripada data SDD yang dikumpulkan, Chong Eng memaklumkan bahawa, golongan wanita mendominasi penerima bantuan khas kewangan secara one off bagi kategori pengusaha taska iaitu 92 peratus dan pengendali pusat jagaan (90 peratus).

Manakala, penyertaan wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dilihat telah mencapai sasaran apabila seramai 30 peratus wanita menerima manfaat daripada bantuan khas kewangan ini.

“Di dalam semua kategori bantuan khas yang diumumkan, hanya kategori penarik beca sahaja tiada penyertaan golongan wanita langsung.

“Mungkin medium pengangkutan ini tidak lagi digunakan, tetapi daripada data SDD ini jika kita (Kerajaan Negeri) ingin mengetengahkannya kepada golongan wanita sebagai pengayuh beca seperti di Melaka mahupun negara China, mungkin penggunaan teknologi boleh dicadangkan di mana di sana (China) mereka menggunakan teknik kayuhan yang seterusnya ditukarkan kepada tenaga kuasa elektrik sesuai dengan kemampuan wanita,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI