Penyelesaian kemelut Kampung Tok Subuh bukti Kerajaan Negeri ikhlas bela nasib rakyat

Admin

MACHANG BUBOK – Projek penempatan semula penduduk Kampung Tok Subuh yang berdepan tindakan pengusiran oleh pihak pemaju sembilan tahun lalu merupakan bukti keikhlasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membela nasib rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Parlimen Bukit Mertajam dekat Desa Tok Subuh di sini sebentar tadi.

“Bermula pada tahun 2013 apabila pihak tuan tanah mengeluarkan notis pengusiran kepada penduduk kampung, kepimpinan Kerajaan Negeri berdepan dengan cabaran besar untuk menepis segala fitnah dan propaganda.

Ketua Menteri menyantuni penduduk yang hadir pada majlis buka puasa anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam dekat Desa Tok Subuh sebentar tadi.

“Pelbagai proses libat urus dan perbincangan dilakukan oleh semua pihak, sebelum mendapat kata sepakat daripada penduduk untuk mengosongkan tanah setelah pemaju setuju meningkatkan pampasan lebih tinggi daripada anggaran asal.

“Justeru, Kerajaan Negeri membangunkan projek perumahan Desa Tok Subuh untuk ditawarkan secara subsidi kepada 26 penduduk yang terlibat dan secara percuma kepada 11 keluarga asal di kampung ini.

“Walaupun perjuangan ini bukanlah mudah, namun Kerajaan Negeri bertekad untuk meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai paksi utama,” katanya.

Meninjau keadaan salah sebuah rumah yang ditawarkan kepada penduduk terlibat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; ADUN Berapit, Heng Lee Lee serta ramai lagi.

Difahamkan, pembangunan projek perumahan Desa Tok Subuh merangkumi 39 unit rumah mampu milik melibatkan kos sebanyak RM4.5 juta yang dibangunkan di atas tanah milik Kerajaan Negeri.

Kon Yeow berkata, penempatan semula penduduk Kampung Tok Subuh menjadi contoh kepada penyelesaian kreatif Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah di beberapa kawasan lain yang berdepan isu sama.

Antara tetamu kehormat yang hadir menyerikan majlis.

“Sejak itu (2013), sudah ada sekurang-kurangnya tiga atau empat projek yang dapat diselesaikan oleh Kerajaan Negeri melalui penyelesaian secara kreatif, dan akhirnya rumah-rumah yang dibina ini akan ditawarkan kepada penduduk terlibat.

“Saya percaya, ini adalah contoh bagaimana Kerajaan Negeri membuktikan bahawa sekiranya kita jujur dan ikhlas dalam membela nasib rakyat, kita pasti dapat menangani pelbagai masalah walaupun sering dipermainkan oleh parti-parti lawan.

“(Dan) hari ini terbuktilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan berusaha sedaya-upaya menyelesaikan masalah yang mereka (rakyat) tidak mampu selesaikan dengan kamampuan sendiri,” ujarnya lagi.

Menyantuni tetamu yang hadir.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang telah berusaha menyelesaikan isu melibatkan penduduk Kampung Tok Subuh.

“Saya ambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa usaha perjuangan ini tidak mungkin berjaya tanpa keberanian dan kegigihan mantan Ketua Menteri apabila dua wakil rakyat kita membawa masalah ini kepada pengetahuan beliau dan Kerajaan Negeri.

“Terima kasih juga kepada pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana bersetuju untuk memberikan nama Desa Tok Subuh kepada projek perumahan ini sebagaimana yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim,” katanya sambil menambah bahawa geran hak milik rumah berkaitan juga telah didaftarkan dan bakal diserahkan kepada pemilik tidak lama lagi.

Sementara itu, Anwar ketika berucap sebelum itu menyatakan bahawa Pulau Pinang telah diuruskan dengan baik oleh pentadbiran Kerajaan Negeri terdahulu (era mantan Ketua Menteri) dan yang sedia ada kini.

“Langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu Kampung Tok Subuh menunjukkan bahawa ada ikhtiar lain yang boleh diambil selain tunduk kepada sistem bobrok.

“Kita mempunyai keupayaan untuk mencari kaedah baru dalam menyelesaikan masalah rakyat, dan perkara ini boleh dilakukan kerana negeri Pulau Pinang diuruskan dengan baik, cukai yang dikutip tidak dikhianati serta harta rakyat tidak dicuri.

“Wang yang diselamatkan ini boleh dipulangkan semula kepada rakyat, dan ini boleh dikategorikan sebagai tatakelola pentadbiran serta pemerintahan yang baik,” katanya sambil menyeru kepada penduduk Kampung Tok Subuh agar mengetuai usaha untuk menjelaskan mengenai keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib rakyat kepada rakyat Pulau Pinang dan seluruh negara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD