Penyerahan Astaka Taman Tun Sardon kepada MBPP secara bersyarat – ADUN

SERI DELIMA – Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Bahagian Pelesenan bersetuju menerima penyerahan Astaka Taman Tun Sardon daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) secara bersyarat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, antara syarat ditetapkan adalah pihak ICU perlu menyiapkan terlebih dahulu kerja-kerja pembaikan seperti bumbung, saliran hujan, siling, pendawaian elektrik, tandas serta lantai.

“Saya jangkakan semua proses ini (naik taraf dan penyerahan) mungkin selesai pada tahun hadapan sebelum pihak Majlis akan mengambil alih sepenuhnya.

“Saya juga ingin mencadangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya projek naik taraf seperti ini memenuhi syarat Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta mampu menempatkan lebih ramai penjaja luar,” ujarnya pada sidang media dekat Taman Tun Sardon, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mohd. Hafiz Abd. Aziz.

Difahamkan, pada tahun lalu, Pejabat ADUN Seri Delima telah memperuntukan kira-kira RM60,000 bagi tujuan kerja-kerja awam di kawasan berkaitan

Mengulas lanjut, Syerleena memaklumkan bahawa pihaknya melalui peruntukan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri (BPKN) telah menyelesaikan kerja-kerja penurapan tar di tapak pasar malam Taman Tun Sardon dengan kos RM19, 982.

“Kita utamakan yang kritikal dahulu di mana sebelum ini tapak pasar malam Blok C berlubang dan hampir menyebabkan kemalangan akibat permukaan jalan berlubang.

“Bagi saya, keselamatan orang awam adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Oleh itu, kita laksanakan projek ini bersama BPKN kerana tapak ini adalah milik mereka.

“Kita lakukan projek turapan ini mengikut fasa, seterusnya kita bercadang untuk menurap tapak pasar malam di Blok A,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi tapak bazar Ramadan akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima, iaitu berhampiran KD Seri Pinang dekat Jalan Akuarium.

“Kalau dahulu ada dua sahaja iaitu dekat Pejabat Pos dan Taman Tun Sardon tetapi tahun ini akan ada tiga atas inisiatif MPKK Jalan Akuarium  dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI