GEORGE TOWN – Robomania 2026 anjuran Tech Dome Penang (TDP) berjaya menghimpunkan seramai 564 pelajar daripada 143 sekolah di lapan negeri di Malaysia, sekali gus mencerminkan peningkatan minat golongan muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, penyertaan tersebut merupakan satu pencapaian bermakna yang membuktikan program berkenaan sebagai platform kepada pelajar meneroka bidang robotik dan STEM melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal.

“Robomania bukan sekadar pertandingan untuk merebut kemenangan, sebaliknya memberi peluang kepada pelajar mengasah kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah, strategi serta kerjasama berpasukan melalui aktiviti mereka bentuk, membina dan mengendalikan robot.
“Melalui pengalaman ini, pelajar bukan sahaja belajar menggunakan teknologi, tetapi turut didorong untuk memahami, mencipta dan meneroka potensi teknologi dengan lebih yakin.
“Pengalaman seperti ini dapat membantu mereka mengenal pasti kekuatan diri, mengembangkan kreativiti dan membina keyakinan untuk menghadapi cabaran baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Robomania 2026 di ruang legar Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Cawangan Pusat Sains Negara Wilayah Utara, Hafizul Hanif Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif TDP, Ts. Khoo Boo Wooi; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd., Datuk Goh Guek Eng dan dif-dif jemputan lain.
Sementara itu, Boo Wooi memberitahu, penganjuran edisi kelapan Robomania membuktikan program berkenaan terus berkembang daripada sebuah pertandingan robotik kepada platform pendidikan STEM yang menggalakkan golongan muda meneroka bidang robotik, kejuruteraan, inovasi dan kerja berpasukan.
“Saya percaya pembelajaran STEM perlu dilaksanakan melalui pengalaman praktikal yang menarik dan interaktif, selaras dengan matlamat untuk menjadikan pendidikan STEM lebih mudah diakses serta memberi inspirasi kepada masyarakat.
“Robomania bukan semata-mata tentang memenangi pertandingan, tetapi menyediakan peluang kepada pelajar untuk meneroka, mencipta dan merasai sendiri pengalaman dalam bidang robotik.
“Melalui proses mereka bentuk, membina dan memprogram robot, pelajar dapat mengembangkan pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, daya tahan serta keyakinan diri,” jelasnya lanjut.
“Robomania 2026 menampilkan dua kategori utama, iaitu Academy League yang memberi pendedahan asas robotik kepada pelajar, serta Football Cup yang menguji kebolehan peserta mereka bentuk, membina dan memprogram robot untuk beraksi di gelanggang pertandingan,” jelasnya lagi.
Bagi kategori Robomania Academy League Sekolah Menengah, tempat ketiga menjadi milik Team Bolabotik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Datuk Haji Abdul Kadir.
Tempat kedua pula dimenangi Team Brilliant dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin II dan juara disandang Team Robota SAKBA dari SM Sains Kepala Batas.
Bagi kategori Robomania Academy League Sekolah Rendah, johan menjadi milik Team Desamur Rangers dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Murni.
Tempat kedua, (Team Robostorm dari SK Permatang Tok Mahat) dan ketiga (Team Sri Aman Saber dari SK Sri Aman).