Penyewaan RMM, Exco seru Pusat gubal undang-undang kawalan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai polisi atau penggubalan undang-undang berhubung kawalan penyewaan rumah mampu milik (RMM) di negara ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan tersebut telah dimaklumkan melalui surat rasmi kepada mantan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, bertarikh 4 Mac lalu.

“Secara spesifiknya, saya telah menulis surat kepada beliau memohon agar isu penyewaan rumah mampu milik (RMM) ini diteliti dan dikaji semula, kerana ia bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, malah merangkumi seluruh Malaysia.

“Terdapat unit-unit RMM yang tidak dihuni oleh pemilik, sebaliknya dijadikan sebagai medium meraih pendapatan sampingan dengan menyewakan atau menjadikan ia sebagai homestay (rumah inap).

“Oleh demikian, Kerajaan Persekutuan seharusnya mengadakan satu perbincangan di antara Excoexco Perumahan seluruh Malaysia dan mengeluarkan satu polisi ataupun menggubal undang-undang di peringkat Pusat agar situasi ini dapat dikawal.

“Namun, malangnya sehingga hari ini, mereka (Pusat) masih membisu dan tiada jawapan diberikan,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Justeru, Jagdeep yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyatakan bahawa pihaknya akan menghantar surat susulan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru, Tan Sri Noh Omar untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan lanjut berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, di peringkat negeri, Jagdeep memberitahu, pihaknya kini sedang dalam proses melakukan penambahbaikan terhadap borang permohonan rumah kos rendah/sederhana rendah/mampu milik atau lebih dikenali sebagai borang PN1.

“Kerajaan Negeri telah mendapatkan pandangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri. Ada pandangan menyatakan bahawa borang-borang PN1 lama ini mungkin tidak dapat dikuatkuasakan.

“Justeru, di atas pandangan tersebut, kita (Kerajaan Negeri) kini sedang melakukan penambahbaikan terhadap borang PN1.

“Penambahbaikan borang baru tersebut akan membolehkan Kerajaan Negeri mempunyai lebih peluang untuk menguatkuasakan syarat-syarat yang termaktub di dalamnya, sekiranya pemilik unit didapati ingkar syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya.