Peraduan mewarna dan melukis, 15 peserta bertuah telah terpilih

Admin

GEORGE TOWN – Senarai pemenang bagi peraduan mewarna, melukis poster dan secara dalam talian anjuran bersama Buletin Mutiara dan Penang Green Council (PGC) yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021 telah pun dimuktamadkan.

 

Proses pemilihan akhir telah dilakukan pada 25 Februari 2022 lalu oleh tiga juri berpengalaman yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, Pengarah Jabatan Botani Negeri Pulau Pinang, Nur Syazwani Ismail dan Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling.

 

Kesemua pemenang akan diumumkan serta dihubungi oleh pihak penganjur dalam masa terdekat.

 

BARISAN panel juri berbincang memilih pemenang terbaik.

 

Seramai 15 pemenang bertuah telah terpilih bagi ketiga-tiga kategori iaitu peraduan mewarna Bakat Si Cilik, melukis poster bertemakan “My Ideal Green Penang” dan pertandingan video pendek bertemakan “My Green Penang – My Initiative”.

 

A. Kumaresan.

Menurut Kumaresan, beliau kagum dengan bakat-bakat cilik yang menyertai peraduan tersebut hinggakan sukar untuk membuat pilihan pemenang.

 

“Amat sukar bagi saya untuk memilih yang terbaik, sebaliknya semua layak untuk menang jika dilihat melalui kemahiran dan kreativiti masing-masing, akan tetapi keputusan tetap perlu dimuktamadkan.

 

“Setelah mengadili bersama-sama barisan panel juri yang lain, saya membuat keputusan untuk menambah dana sebagai tajaan untuk hadiah wang tunai para pemenang bernilai RM400,” ujar Kumaresan sejurus memilih pemenang bertuah baru-baru ini.

 

Beliau dalam masa yang sama memberi semangat kepada para peserta yang tidak berjaya agar mencuba lagi pada masa akan datang.

MEI Ling semasa sesi pemilhan pemenang baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mei Ling menyatakan bahawa peraduan tersebut telah menunjukkan bahawa generasi muda peka dengan matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa menekankan aspek persekitaran hijau.

 

“Melalui hasil karya yang telah mereka (peserta) tonjolkan, ini merupakan suatu transformasi yang besar kerana mereka berjaya menyampaikan mesej bernas dan menepati tema kali ini.

 

“Oleh itu, diharapkan bukan sahaja golongan kanak-kanak yang dapat dipengaruhi tentang kepentingan aspek persekitaran hijau, malahan juga masyarakat awam sekeliling,” jelasnya.

NUR Syazwani.

Sementara itu, Nur Syazwani ketika mengulas menyatakan, pemahaman mengenai kepentingan persekitaran hijau perlu diperluaskan.

“Sudah lama saya tidak melihat peraduan atau kempen seperti ini dijalankan, ini merupakan inisiatif yang baik serta dapat menimbulkan kesedaran terhadap semua lapisan masyarakat.

“Oleh yang demikian, pemahaman mengenai kepentingan persekitaran hijau bukan sahaja perlu didedahkan terhadap kanak-kanak di sekolah, malahan juga secara meluas terhadap umum,” katanya lagi.

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI