Peranan pendidik jadikan Pulau Pinang peneraju transformasi pendidikan negara penting

Admin
0953e6e7 5832 48fb 8573 4c43a98af98f KETUA Menteri semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa (Iftar) Bersama-sama Warga Pendidik yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir pada 1 April 2024.

PERMATANG PASIR – Kerajaan Negeri hari ini akan terus menghargai peranan serta sumbangan warga pendidik dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai peneraju transformasi pendidikan negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa (Iftar) Bersama-sama Warga Pendidik yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Dewan Al-Khawarizmi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir pada 1 April 2024.

“Saya sedar, tidak mudah untuk menjadi seorang guru terutamanya di masa ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami akan meneruskan pelbagai bantuan sedia ada,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

img 8457
ANTARA gambar warga pendidik yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya menyusun inisiatif-inisiatif sebagaimana digariskan dalam Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, termasuk memudahkan proses pengajaran serta pembelajaran supaya tiada keciciran dalam kalangan anak-anak khususnya dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Tidak setakat itu sahaja, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini dalam usaha menyediakan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun serta menyampaikan sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

e629131a e322 468d a16a 2110a97d30ae
PERSEMBAHAN reka cipta robotik oleh sekumpulan tujuh pelajar dan seorang guru dari SMK Permatang Pasir yang telah berjaya mewakili Malaysia dalam pertandingan Robotik First Tech Challenge World Championship yang akan diadakan di Houston, Texas, Amerika Syarikat pada 17 sehingga 20 April 2024.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut merakamkan ucapan syabas kepada tujuh pelajar dan seorang guru dari SMK Permatang Pasir yang telah berjaya mewakili Malaysia dalam pertandingan Robotik First Tech Challenge World Championship yang akan diadakan di Houston, Texas, Amerika Syarikat pada 17 sehingga 20 April 2024.

“Kejayaan anak-anak ini membuktikan kesungguhan dan bakat mereka dalam bidang teknologi sekali gus mencerminkan sumbangan serta komitmen guru yang berjaya melahirkan generasi hebat serta berketerampilan,” jelasnya.

1083d750 f68b 46c2 9d99 ab04cf4777dd
WAN Sajiri Wan Hassan

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat dan Pegawai Pendidikan Daerah SPT, Suhaimi Abdullah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT