Perang Dagang berlarutan, Pulau Pinang ‘neutral’ jadi destinasi pilihan dari Switzerland, kata pelabur VAT

Admin

BUKIT TAMBUN – Di sebalik perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan Republik Rakyat China yang berlarutan, negara-negara neutral seperti Switzerland seakan tidak segan silu memilih Malaysia terutama Pulau Pinang sebagai ‘pintu alternatif’ untuk projek pengembangan pelaburan dan pemasaran produk mereka ke negara-negara serantau.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan VAT AG, Mike Allison dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan fasa kedua kilang pengeluar vakum injap berteknologi tinggi tersebut, dekat Taman Perindustrian Batu Kawan.

“Di sini (Pulau Pinang) adalah lokasi yang begitu neutral, begitu juga Malaysia ada suatu peluang keemasan untuk memperluas pasaran, bukan disebabkan oleh perang dagang semata-mata, tapi juga sebagai lokasi yang begitu neutral untuk menyokong perdagangan bebas, kos (operasi) paling munasabah, mudah dapat tenaga buruh mahir dan terlatih serta ada rantaian bekalan yang cukup,” ujarnya pada 5 September 2019 di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan memberi lebih tumpuan mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) tambahan daripada pelabur-pelabur sedia ada di negeri, selain mencari pelabur baharu.

“Kita sasar bukan sahaja untuk memenangi minat pelabur-pelabur baharu yang lebih sukar untuk dibawa (melabur ke Pulau Pinang), bahkan, pelaburan tambahan pihak pelabur yang telah beberapa tahun melabur di negeri ini serta selesa dengan persekitaran pelaburan di negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut merakamkan penghargaan di atas kesetiaan VAT Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. (VAT) yang terus melabur di negeri ini.

Sebelum itu, beliau dalam ucapan perasmian pembukaan kilang tersebut antara lain menyatakan bahawa jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan ke Pulau Pinang untuk suku pertama 2019 (1Q19) berjumlah RM9.2 bilion, menyumbang kira-kira 35 peratus FDI Malaysia bagi tempoh sama.

Tambahnya, FDI yang diluluskan MIDA ke Pulau Pinang bagi 1Q19 pula adalah rekod paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Pengarah Urusan VAT, Bernd Kirchhoefer turut berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang VAT, selain Kon Yeow dan Mike Allison.

Hadir sama, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang (iP), Dato’ Loo Lee Lian.

Terdahulu, VAT pada 18 April 2013 telah membuka kilang pertama di sini dengan nilai pelaburan 40 juta Swiss Franc (CHF) atau RM165 juta.

Sehingga Jun 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan kelulusan 218 projek pembuatan VAT dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.

VAT, pada pagi tadi mengumumkan pembukaan kilang pembuatan baharu di sini, dengan jumlah FDI tambahan kira-kira RM165 juta lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD