Perangi berita palsu, ADUN hasil video khas kongsi kesahihan maklumat elak panik di kalangan umum

GEORGE TOWN – Penularan maklumat tidak tepat dan berita palsu merupakan masalah serius yang berisiko menganggu gugat keamanan sekaligus mencetuskan panik dalam kalangan rakyat ketika negara sedang berperang dek ancaman pandemik COVID-19.

Sebagai inisiatif memerangi penularan berkenaan terutamanya ketika kes positif COVID-19 makin meningkat di negeri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid tampil dengan pendekatan khas menghasilkan sebuah video berdurasi satu minit bagi berkongsi kesahihan maklumat dan nasihat dengan para pengikutnya di Facebook semalam.

Menurut Syerleena, keutamaan beliau adalah supaya masyarakat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima khasnya tidak panik dengan penularan berita palsu berhubung kluster tembaga berkenaan yang dikenal pasti tular baru-baru ini.

“Sebenarnya sejak lapan bulan lalu saya menjalinkan kerjasama erat dengan tujuh MPKK di KADUN ini bagi membendung penularan COVID-19.

“Antara langkah yang telah diambil secara drastik seusai sahaja kluster tembaga diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini adalah menghentikan segala aktiviti terutamanya di kawasan berhampiran Japanese Garden di sini buat sementara waktu dalam tempoh dua minggu.

“Malah, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga telah meletakkan notis penutupan taman permainan kanak-kanak di kawasan tersebut, maka dengan adanya notis ini umum akan lebih peka dan lebih berjaga-jaga.

“Diharap dengan video tersebut sedikit-sebanyak menenangkan masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui sebentar tadi.

Secara rasionalnya menurut Syerleena, umum seharusnya telah biasa dengan kehidupan norma baharu dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

Jelasnya, tindakan penularan mesej tidak bertanggungjawab tersebut baru-baru ini meskipun menimbulkan rasa panik kepada segelintir pihak, namun beliau percaya kebanyakan masyarakat di kawasan tersebut masih kekal tenang tanpa mempercayai sewenang-wenangnya mesej yang ditularkan.

“Manusia sememangnya mudah panik tuntas mempengaruhi tindakan yang tidak rasional, justeru janganlah mengambil kesempatan seumpama meneguk di air keruh dengan situasi kini,” ujarnya sambil mengulangi kepentingan mengamalkan SOP seperti penjarakan sosial, kerap pencuci tangan dan memakai pelitup muka.

Ketika ditanya mengenai perancangan beliau sekiranya kes kian bertambahan di KADUN berkenaan dan keadaan di luar jangkaan, Syerleena dalam nada tenang memaklumkan beliau akan melakukan apa yang perlu secepat mungkin seperti pengedaran pelitup muka dan membekalkan pensantasi tangan kepada umum.

“Kita akan memantau dari semasa ke semasa, dan sekiranya situasi di luar jangkaan, saya akan minta nasihat Kerajaan Negeri di samping jalinkan kerjasama erat dengan pihak KKM memalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP),” maklum beliau.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI