Perangi plastik sekali guna, COSDEM tekankan pendidikan sebagai pemacu kelestarian

grew (2)

JAWI – Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) dengan kerjasama WWF Malaysia, Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kampus Kejuruteraan USM telah berjaya menganjurkan Conference on Sustainable Development through Education Malaysia 2025 (COSDEM) pada 15 September lalu.

 

Bertemakan “Combat Single Use Plastic”, persidangan ini menghimpunkan lebih 30 sekolah, pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) serta warga pendidik dari seluruh negara bagi membincangkan peranan pendidikan sebagai pemacu transformasi Education for Sustainable Development (ESD).

 

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo ketika merasmikan persidangan tersebut, menegaskan bahawa isu plastik sekali guna merupakan ancaman besar terhadap alam sekitar, kesihatan manusia dan masa depan generasi muda.

 

“Setiap tahun berjuta tan plastik berakhir di lautan dan mengancam hidupan marin. Melalui tema ini, kita bukan sahaja menekankan pengurangan sisa, malah menyeru perubahan minda dan gaya hidup dengan pendidikan sebagai kunci melahirkan generasi bertanggungjawab serta kreatif dalam mencari penyelesaian lestari,” katanya.

grew (1)
S. Sundarajoo (dua dari kanan) hadir pada persidangan COSDEM baru-baru ini.

Beliau turut menyeru warga pendidik dan pelajar untuk menjadi duta kelestarian dengan mengamalkan prinsip 3R (Reduce, Reuse, Recycle), seiring dengan aspirasi Penang2030 serta Matlamat Pembangunan Lestari khususnya SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Iklim).

 

Selain itu, persidangan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir memberikan semangat dan menggalakkan pelajar serta guru melaksanakan tindakan pembangunan lestari di sekolah masing-masing.

 

Dalam pada itu, Pengerusi GREW, Khou Jerome memberitahu bahawa pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang tiga hari penganjuran termasuk perkongsian pakar, permainan bertema plastik, lawatan lapangan, pertandingan reka poster 3D, debat parlimen kelestarian, dialog bersama pihak berkuasa tempatan serta pembentangan cadangan transformasi sekolah melalui ESD.

 

“Perubahan tidak mudah, tetapi penting untuk berani melangkah, menjadi teladan dan mencipta budaya kelestarian di sekolah serta komuniti. Let’s combat single use plastic!” serunya.

 

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang mewakili Naib Canselor USM, menegaskan bahawa pihaknya menitikberatkan kelestarian sebagai identiti utama universiti.

 

“Komitmen tersebut diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila USM konsisten berada dalam senarai Times Higher Education Impact Rankings bagi Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.

 

Hadir sama, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

 

Gambar: GREW