Peranti komputer dan gajet mudah alih, sumbangan pelbagai pihak dialu-alukan

PADANG KOTA – Hampir 1,000 pelajar di negeri ini telah menerima manfaat hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Program Komputer e-Pembelajaran yang dilancarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang sama ada peranti komputer atau gajet mudah alih bagi keperluan proses pengajaran dan pembelajaran secara digital kini.

CHOW Kon Yeow menunjukkan salah satu peranti mudah alih yang disumbangkan oleh Syarikat Prominent Sound Sdn. Bhd. di sini.

Menurut beliau, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara kini telah mempercepatkan lagi penerimaan masyarakat terhadap digitalisasi dalam urusan harian termasuk proses pengajaran serta pembelajaran secara maya.

Dalam rutin normal baharu kini, bukan sahaja proses pembelajaran dilaksanakan secara maya malah turut melibatkan urusan-urusan lain, misalnya transaksi pembayaran secara dalam talian.

“Semalam Menteri (Kanan Pendidikan) mengumumkan bahawa sekolah akan pada 1 Mac ini, namun timbul persoalan sama ada peranti komputer (atau mudah alih) masih diperlukan.

“(Dan) menurut Menteri bahawa peranti komputer masih diperlukan kerana proses pembelajaran secara digital (e-pembelajaran) kini bakal menjadi sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran kelak,” ujarnya pada majlis penyerahan peranti mudah alih (tablet) di Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dekat Jalan Arratoon di sini pada 20 Februari 2021.

Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Prominent Sound Sdn. Bhd., Khaw Lay Ne bersama-sama Penasihat Undang-Undang syarikat berkaitan, Lim Choo Hooi selaku penyumbang serta Pegawai Khas Parlimen Padang Kota, Lau Keng Ee.

Sebagai rekod, syarikat berkenaan telah menyumbang sebanyak 20 komputer riba pada awal Januari lalu untuk diberikan kepada pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah (B40) di negeri ini.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow memberitahu bahawa pada hari ini, 44 unit peranti mudah alih yang disumbangkan oleh syarikat berkenaan akan diberikan kepada pelajar terpilih daripada keluarga B40 dalam KADUN Padang Kota secara pinjaman.

“Saya berharap pelajar yang menerima peranti ini akan memanfaatkan sepenuhnya serta menyesuaikan diri dengan digitalisasi,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Syarikat Prominent Sound Sdn. Bhd..

Dalam pada itu, Choo Hooi ketika ditemui menyatakan bahawa pandemik COVID-19 memberi banyak cabaran kepada semua pihak terutama mereka dalam kelompok B40.

 

“Pihak kami memahami bahawa terdapat sesetengah pelajar yang tidak mempunyai peluang untuk mempelajari penggunaan teknologi terkini.
“(Dan) atas dasar itu, pihak kami berhasrat untuk tampil membantu pelajar-pelajar ini,” jelasnya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN