Perarakan pedati Thaipusam, PHEB bincang tindakan lanjut ke atas jawatankuasa pengurusan Kuil Nattukotai Chettiar – Ramasamy

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap berpegang pada pendiriannya untuk tidak membenarkan sebarang perarakan pedati semasa sambutan Thaipusam di negeri ini.

Keputusan tersebut telah dibuat secara kolektif pada mesyuarat yang turut disertai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil-wakil daripada Kuil Nattukotai Chettiar sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, tindakan jawatankuasa pengurusan Kuil Nattukotai Chettiar yang mengadakan perarakan membawa pedati perak awal pagi tadi secara terang-terangan menentang arahan prosedur operasi standard (SOP) Thaipusam daripada Kerajaan Negeri dan pihak MKN.

Jelasnya, sehingga kini Kerajaan Negeri dan MKN belum memberikan sebarang kebenaran untuk perarakan pedati perak dilakukan di Pulau Pinang.

“Jawatankuasa Kuil Nattukotai Chettiar secara terang-terangan menentang arahan daripada Kerajaan Negeri, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) dan pelbagai agensi kerajaan yang melarang supaya acara-acara berkaitan dengan perayaan Thaipusam tidak diadakan kali ini.

“Malah, keputusan sebulat suara ini juga turut mendapat persetujuan bersama wakil kuil berkenaan sebelum ini… keputusan yang dibuat adalah berdasarkan rasional dan tanggungjawab untuk melawan pandemik COVID-19 yang semakin serius kini.

“Justeru, kita (PHEB) akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung tindakan yang wajar dikenakan sebelum membawanya kepada mesyuarat Exco,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi PHEB pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong) dan wakil-wakil daripada PHEB dan Kuil Hilltop Murugan.

Sebelum ini, dilaporkan MKN membenarkan pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan ke Batu Caves dengan syarat-syarat yang ketat serta tanpa sebarang pergerakan sebagaimana kelaziman sambutan Thaipusam sebelum ini.

Difahamkan, Kuil Nattukotai Chettiar telah meminta campur tangan Persekutuan melalui Pejabat Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan untuk mendapatkan kebenaran tersebut sepertimana yang diperolehi oleh Kuil Hindu Batu Caves.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga ADUN Perai menjelaskan bahawa pihak PHEB mempunyai hak untuk mengambil alih jawatankuasa kuil berkenaan sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 4 Ordinan Wakaf Hindu.

“Tindakan ini tetap dianggap haram dan bertentangan dengan dasar Kerajaan Negeri dan MKN kerana Saravanan tidak ada kena-mengena untuk mencampuri urusan di negeri Pulau Pinang,” tegas beliau.

Dalam sidang media yang sama, Rayer turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan jawatankuasa pengurusan kuil berkenaan yang secara jelas mengetepikan kesihatan rakyat secara keseluruhannya.

“Tindakan ini melibatkan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya bukan sahaja kaum India kerana wabak (COVID-19) ini tidak mengenal kaum, bangsa dan agama.

“Ia adalah perkara serius melibatkan kesihatan rakyat dan orang ramai akan bertanya mengapakah mereka (pengurusan kuil) diberikan kelonggaran untuk melakukan hal tersebut walaupun dikatakan hanya 10 ahli jawatankuasa kuil berkenaan yang menyertai perarakan itu,” ulas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG