Peratusan Ahli Majlis wanita dalam PBT meningkat

GEORGE TOWN – Peratusan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) wanita di negeri ini meningkat kepada 21 peratus bagi lantikan 1 Januari sehingga 31 Disember 2021 berbanding tahun sebelumnya iaitu 18 peratus.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa peningkatan kadar penglibatan wanita dalam kalangan Ahli Majlis di negeri ini merupakan sesuatu yang positif.

 

“Walaupun Kerajaan Negeri mensasarkan 30 peratus penglibatan wanita, namun disebabkan kurangnya pencalonan sama ada daripada parti mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) maka sasaran tersebut belum tercapai.

 

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mencapai kesaksamaan gender dalam perkhidmatan PBT di negeri ini,” ujarnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar tengah hari ini.

 

 

Terdahulu, Jagdeep mengumumkan pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi tahun ini.

 

 

“Pelantikan ini adalah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (iaitu) pihak berkuasa tempatan hendaklah terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan tidak kurang daripada lapan serta tidak lebih daripada 24 Ahli Majlis dilantik oleh pihak berkuasa negeri.

 

 

Maka pelantikan ini melibatkan 24 Ahli Majlis MBPP dan 24 Ahli Majlis MBSP bagi tempoh setahun mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021.

 

“Bagi MBPP berdasarkan kuota parti, seramai 10 Ahli Majlis terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP); Parti Keadilan Rakyat (PKR – 8) dan Parti Amanah Negara (Amanah – 2). Bagi MBSP pula, DAP (10); PKR (9) dan Amanah (2),” katanya.

 

Bagi kuota NGO pula, Jagdeep memaklumkan bahawa setelah Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk membuka proses permohonan kepada semua NGO di seluruh Pulau Pinang, sebanyak 67 permohonan telah diterima daripada 54 NGO.

 

“Seramai 60 calon yang disenarai pendek telah melalui proses temu duga dan empat perwakilan NGO telah dipilih bagi MBPP iaitu daripada Penang Chinese Chamber of Commerce (PCCC); Liga Muslim Pulau Pinang; Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang dan Persatuan Belia Infiniti.

 

“Manakala bagi MBSP pula, Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia; Penang Forum dan Pertubuhan Ikram Malaysia Pulau Pinang menjadikan keseluruhan kuota NGO seramai tujuh orang,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menzahirkan pengharapan agar semua Ahli Majlis yang baru dilantik berkenaan dapat memberikan sumbangan dan komitmen yang tinggi untuk membantu Kerajaan Negeri menggubal undang-undang serta dasar-dasar PBT agar terus berdaya saing.

 

“Tidak dilupakan, terima kasih kepada semua Ahli Majlis terdahulu yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing terutama dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Kekal sihat, kekal selamat,” ulasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS