Perbincangan peringkat akhir, sasar laksana program saringan massa babit 40 KADUN Julai 2021 – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini memasuki peringkat akhir perbincangan bagi pelaksanaan program saringan massa secara besar-besaran membabitkan semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, melalui kertas cadangan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Exco pada 2 Jun 2021, seramai 40,000 individu disasarkan yang mana 1,000 individu layak di setiap KADUN akan disaring.

 

“Objektif pelaksanaan program saringan massa ini adalah bagi mengenal pasti, mengasingkan dan mengawal penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

 

Langkah-langkah ini terutama mengasingkan individu yang disahkan positif COVID-19 dan mengawal jangkitan merebak ke kawasan bukan kluster terutama oleh ‘silent carrier’ (pembawa senyap) adalah sebagai usaha pencegahan bagi memutuskan rantaian penularan.

 

“(Dan) saya yakin dengan usaha yang dilakukan ini serta sokongan semua, Pulau Pinang mampu kembali menjadi zon hijau seperti sebelum ini yang mana kita (Pulau Pinang) mencatatkan sifar kes selama lebih 100 hari,” ujarnya pada sidang media secara maya hari ini.

 

Mengulas mengenai penetapan kriteria individu yang layak disaring, Jagdeep berkata keutamaan adalah di kawasan-kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti boleh menjadi punca perebakan.

 

“Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diberikan peluang untuk mencadangkan nama individu yang layak bagi kawasan masing-masing untuk disaring.

 

“Pada 15 Jun lalu, satu taklimat turut diadakan bersama-sama semua ADUN dan wakil bagi mendapatkan informasi terkini situasi COVID-19 di KADUN masing-masing.

 

“(Dan) dalam taklimat sama, saya telah memohon komitmen semua ADUN untuk menyokong penuh pelaksanaan program saringan ini,” jelasnya yang berharap program saringan massa besar-besaran ini dapat dilaksanakan mulai bulan Julai 2021, tertakluk pada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep menyeru semua warganegeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

 

Sasaran Kerajaan Negeri ialah 1.34 juta daripada keseluruhan 1.8 juta rakyat divaksin bagi mencapai imunisasi kelompok.

 

“Walaupun masa kini, kita (Kerajaan Negeri) mahu memastikan seramai mungkin rakyat Pulau Pinang divaksin, namun, bekalan vaksin yang diterima juga perlu cukup.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama penuh bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan melaksanakan program saringan ini yang melibatkan pendaftaran, operasi saringan dan pasca saringan.

 

“(Dan) pada masa sama, meneruskan program pemeriksaan pematuhan serta pendidikan terhadap orang ramai,” jelasnya.

 

Berikut adalah kriteria penetapan pemilihan yang dimaksudkan;

  1. Golongan berisiko tinggi terutamanya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
  2. Individu terlibat dengan khidmat pengangkutan seperti pemandu e-hailing, teksi dan bas.
  3. Pengusaha keperluan harian seperti di bengkel kenderaan dan kedai perkakasan (hardware).
  4. Individu yang menjalankan aktiviti penjajaan dan perniagaan.
  5. Individu wajib mendaftar dengan MySejahtera sebelum didaftarkan dalam sistem saringan massa.
  6. Individu yang tinggal di kawasan ‘panas’ atau kluster sasaran.
  7. Ketua keluarga yang tinggal di kawasan kluster sasaran.
  8. Individu yang berdaftar sebagai penghantar makanan dan barangan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD