Perbincangan SPRWTS dengan Perak pada 1 Mac

GEORGE TOWN – Perbincangan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perak berhubung penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Pulau Pinang melalui Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) perlu diteruskan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, setakat ini hanya sekali sahaja perbincangan diadakan melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Perak dan pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS, ketika itu) iaitu pada 2019.

 

“Sebelum ini, mantan Menteri (Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A.Xavier Jayakumar) telah memudahcarakan perbincangan membabitkan tiga pihak, kemudian berlaku pertukaran Menteri.

 

Namun Menteri baru (Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man) juga maklum kerana saya telah bangkitkan isu ini dalam mesyuarat pada peringkat Persekutuan.

 

“(Malah), Menteri Besar Perak yang baru (Datuk Seri Saarani Mohamad) juga maklum mengenai (perkara ini). Maka, saya berharap usaha menyambung semula perbincangan harus diteruskan,” ujarnya ketika ditemui sejurus menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Angkasa X dan rakan pemain industri elektrik dan elektronik dekat Komtar di sini pada 21 Februari 2022.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa satu pertemuan bagi membincangkan mengenai hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang membeli air mentah dari Perak telah ditetapkan iaitu pada 1 Mac 2022 ini di Perak.

 

Sebagai rekod, pada tahun 2009, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mentauliahkan ‘Kajian Pelan Induk Bekalan Air Minum di Pulau Pinang Sehingga Tahun 2050’ yang mana Sungai Perak merupakan pilihan terbaik dan paling ekonomi untuk mencapai jaminan bekalan air di Pulau Pinang dan Perak Utara sehingga tahun 2050.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menjawab pertanyaan pemberita berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah yang melantik panel peguam untuk mengendalikan tuntutan caj air mentah diambil Pulau Pinang dari Sungai Muda.

 

“Setakat ini, (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) belum menerima apa-apa (tuntutan berkaitan) secara rasmi,” katanya.

 

Terdahulu, pada awal Januari 2022 media melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melantik panel peguam untuk melihat cara terbaik memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Pulau Pinang. Malah, Kerajaan Negeri Kedah juga sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun kepada Pulau Pinang kerana mendapatkan bekalan air dari Sungai Muda yang berpunca dari Kedah.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS