Pinjaman tanpa faedah TUTM modal kembang ternakan ayam piru Shafinaz

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyampaikan cek pinjaman mikro kredit Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) kali kedua kepada lima petani dan empat penternak terpilih.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, penerimaan kali pertama sebelum ini adalah membabitkan 24 orang, meliputi kategori pertanian, penternakan dan perikanan.

Hadir sama, tiga Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo serta Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Difahamkan, TUTM dilancarkan pada 13 Jun 2014 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, sempena Majlis Perasmian Agrofest Pulau Pinang tahun itu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM250,000 setahun, dengan pemberi pinjaman mikro kredit maksimum sejumlah RM5,000, demi menggalakkan golongan muda dan pengusaha di bawah usia 40 tahun terlibat dalam tiga sektor berwajib di Pulau Pinang.

Salah seorang penerima, Noor Shafinaz Ismail, 32, yang ditemui Buletin Mutiara memberitahu, pinjaman tanpa faedah berjumlah RM5,000 akan dijadikan modal untuk mengembangkan bidang ternakan ayam piru beliau di Kampung Permatang Manggis dekat Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU).

“Saya sedang mengintai peluang untuk ternak ayam kampung juga selepas ini memandangkan permintaan yang menggalakkan, ” ujarnya sambil ditemani suami, Kamarul Adanan, 32.

Tambah Noor Shafinaz, ternakan ayam piru di negeri ini sebenarnya mempunyai prospek pasaran yang agak baik, terutama pada musim perayaan.

Penerima muda, Muhamad Fakrul Azim Yusof, 19, pula berkata, pinjaman yang diterimanya akan digunakan untuk membeli enjin pam serta menaiktaraf sistem perpaipan di kebunnya.

“Apabila dapat menambah baik dua perkara tersebut, ianya secara tidak langsung diharap dapat memajukan lagi sektor cucuk tanam (sayur-sayuran) yang saya usahakan ini,” ujarnya yang mula menceburkan diri dalam sektor tersebut sejak berumur 10 tahun.

Seorang lagi penerima, Mohd. Izuan Ishak, 25, memberitahu bahawa pinjaman mikro kredit itu akan dimanfaatkan sebagai modal pusingan di kebun sayurnya di Kampung Labu Banting dekat Tasek Gelugor, SPU.

Bagi Julia Che Ros, 32, pinjaman TUTM itu mampu membantu beliau meningkatkan produktiviti mingguan sehingga 1,200 biji kek.

“Sekarang saya mampu hasilkan lebih kurang 800 biji kek (pelbagai) dalam masa seminggu, oleh itu apabila pusingan modal melalui TUTM ini diharapkan dapat merealisasikan peningkatan dari segi pengeluaran,” ujar pengusaha bakeri berkenaan.

Semasa majlis itu, Julia turut menghadiahkan kek yang beliau cipta sendiri hasil pembelajaran melalui internet kepada Guan Eng.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);