Perdana Menteri diseru panggil sidang Parlimen secepat mungkin

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru Perdana Menteri agar memanggil persidangan Parlimen dalam kadar segera.

Beliau menegaskan bahawa fungsi badan perundangan adalah amat diperlukan bagi membolehkan setiap Ahli Parlimen memainkan peranan masing-masing terutamanya semak dan imbang walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19 kini.

“Sudah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan pandangan ini melalui penganjuran pelbagai aktiviti termasuk apa yang berlaku di hadapan Parlimen baru-baru ini.

Sesi Libat Urus dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan prinsip semak da imbang terus berfungsi.

“(Dan) kita tidak nampak mengapa tadika, pasar malam, pawagam dan sebagainya boleh dibuka kecuali Parlimen.

“Oleh itu, kita menyeru Perdana Menteri supaya memanggil sidang Parlimen secepat mungkin bagi membolehkan wakil rakyat memainkan fungsi mereka sebagai semak serta imbang.

 

“Pada masa sama, ia juga bagi memastikan agensi-agensi kerajaan kekal proaktif dan sentiasa peka serta prihatin terhadap isu-isu rakyat selain badan eksekutif dapat dipantau dengan rapi,” tegasnya pada sidang media semasa Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa sesi libat urus yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri membuktikan bahawa persidangan sama boleh dijalankan di peringkat Parlimen dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Setelah saksikan apa berlaku (semasa sesi libat urus), kita tegaskan seruan ini secara rasmi kerana terbukti ia boleh dilangsungkan sebaiknya dengan pematuhan SOP,” ujarnya.

Sebelum itu, Kon Yeow dalam ucapan aluan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menganjurkan Sesi Libat Urus antara Ahli Exco bersama ADUN-ADUN Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.

Salah seorang ADUN mengemukakan soalan bagi isu-isu berbangkit di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, penganjuran sesi libat urus tersebut adalah bagi memastikan prinsip semak dan imbang dapat dilaksanakan dalam tampuk pentadbiran susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sesi libat urus ini memainkan fungsi menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri, barisan Exco dan agensi-agensi kerajaan supaya senantiasa peka serta prihatin kepada permasalahan rakyat.

“Setiap Ahli Exco akan mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan dasar, projek serta program di bawah portfolio masing-masing sebelum sesi soal jawab untuk membolehkan ADUN-ADUN mengemukakan perkara-perkara berbangkit.

“Juseru, kita menyaksikan ramai wakil rakyat mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan isu-isu berhubung dengan portfolio Ahli-Ahli Exco yang membentangkan urusan portfolio masing-masing,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN