Pergiat institusi teras vokasional – TKMII

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Mengikut rekod, Pulau Pinang hanya mempunyai sekitar 30 peratus pekerja berkemahiran tinggi, kata Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy pada Perasmian Forum Perundangan Pekerjaan di sini baru-baru ini.

Ekoran itu, seru beliau, institut berteraskan vokasional seharusnya dipergiat dan diperbanyakkan bagi melatih generasi berkemahiran tinggi demi memenuhi permintaan pekerjaan semasa.

“Hari ini, kita memerlukan lebih banyak pusat-pusat vokasional yang mampu melatih para pelajar dengan pelbagai kemahiran semasa seperti ditawarkan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) kini.

“Melalui pusat-pusat latihan seperti ini, harapan untuk merealisasikan peningkatan pekerja berkemahiran tinggi di Pulau Pinang dapat dilaksanakan,” jelas beliau.

Hadir sama, Pengerusi Penang State Human Resources Liaison Committee, Datuk Ajit Singh Jessy.

Penganjuran forum tahunan kali ketiga tersebut turut membariskan para penceramah yang mahir dalam bidang pekerjaan, undang-undang buruh dan latihan bagi memberi lebih pendedahan kepada pekerja berhubung perlindungan semasa bekerja kepada golongan berkaitan.

Ramasamy yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi turut menyatakan bahawa ekonomi Pulau Pinang adalah berteraskan pelaburan.

“Syarikat-syarikat multinasional besar seperti Intel, B. Braun dan sebagainya sentiasa memerlukan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan semasa masing-masing.

“Melalui latihan dan kemahiran kerja efektif yang diberikan pusat-pusat vokasional ini sahaja mampu mengisi kekosongan pekerja kemahiran tinggi di syarikat-syarikat multinasional.

“Bahkan, membantu meningkatkan ekonomi,” ujar Ramasamy.