Perhebatkan jentera PH KADUN Bukit Tengah hadapi PRN tidak lama lagi – Kon Yeow

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata sekalian jentera Pakatan Harapan (PH) peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah seharusnya memperhebat kempen serta bekerja lebih keras pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Tegas beliau, pendekatan tersebut adalah memandangkan dalam tempoh kurang setahun dari sekarang, Pulau Pinang akan mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) pula.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Jentera PRU15 Peringkat KADUN Bukit Tengah di sini pada 6 Disember 2022.

“Untuk kekal sebagai Kerajaan Negeri (dalam PRN nanti), kita perlu menang 21 kerusi sekurang-kurangnya.

“Malah, bagi mewujudkan sebuah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang stabil dan kukuh, kita (PH) perlu menang kalau tidak 30 kerusi, 28 atau 29 kerusi (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN).

“Saya kira (majoriti sekurang-kurangnya 21 kerusi daripada 40 kerusi KADUN) ini boleh dicapai sekiranya kita (jentera PH) terus bekerja keras di setiap KADUN, setiap saluran (pengundi), di setiap tempat pengundian.

“(Ini kerana,) melihat keputusan (PRU15) yang telah kita capai ini, memerlukan kita memperhebatkan lagi jentera (PH),” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di depan hampir 250 orang jentera.

Turut berucap, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.

Pada 19 November 2022 lepas, keputusan PRU15 menyaksikan Kon Yeow menang dengan majoriti 40,400 undi.