Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI
GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima yang juga Pengerusi Penang State Legislative Assembly Backbenchers, R.S.N. Rayer baru-baru ini membuat laporan polis terhadap Ali Tinju termasuk beberapa pemimpin MCA, Gerakan dan MyPPP yang telah menganjur dan mengadakan perhimpunan di perkarangan Taman Manggis, Jalan Burma Pulau Pinang pada 25 Mac 2016.
Katanya, dalam perhimpunan itu juga terdapat pihak-pihak tertentu yang telah membuat kenyataan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Kenyataan tersebut menyatakan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merampas hak serta peluang orang-orang miskin dan tidak berkemampuan di Pulau Pinang dengan tidak meneruskan projek PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) di Taman Manggis.
“Justeru, saya mohon pihak polis menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967/ Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di Balai Polis Jalan Patani, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada 27 Mac lalu.
Turut sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai serta beberapa Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Dalam pada itu, Rayer turut mempersoalkan pendirian parti Gerakan dan MCA berhubung tindakan menyertai perhimpunan yang diadakan itu.
“Umum tahu siapa Ali Tinju…beberapa bulan lalu dia telah menganjurkan perhimpunan ‘Baju Merah’ di Kuala Lumpur.
“Gerakan dan MCA ketika itu mengutuk tindakan tersebut…tetapi sekarang mereka bersekongkol mengadakan demonstrasi.
“Di manakah pendirian MCA dan Gerakan berhubung tindakan tersebut,” soal Rayer.}