Perintah Kawalan Pergerakan, Pulau Pinang sokong enam langkah kawalan ditetapkan

GEORGE TOWN – Penjawat awam di bawah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak terlibat dengan perkhidmatan penting (essential services) diminta untuk bekerja dari rumah bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh sama di seluruh negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media sebentar tadi berkata, Kerajaan Negeri komited untuk membendung penularan wabak COVID-19 dan menyokong keenam-enam langkah kawalan yang telah ditetapkan di peringkat Persekutuan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri kita akan mematuhi semua langkah kawalan yang telah ditetapkan dan melakukan penutupan semua premis kerajaan kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting.

“Penjawat awam yang tidak terlibat dengan perkhidmatan penting dibenarkan bekerja dari rumah, tapi ini bukan bermakna mereka bercuti atau pelepasan tugas… sebaliknya mereka perlu bersedia untuk menunaikan tugasan dan tanggungjawab (kerja).

“Pusat khidmat wakil-wakil rakyat juga akan mematuhi perintah penutupan ini, yang mana petugas-petugas di setiap kawasan perlu siap siaga sekiranya diperlukan mengikut keadaan.

“Saya percaya semua agensi (negeri) akan mematuhinya (perintah), bagi Exco-Exco Kerajaan Negeri, kita masih berfungsi dan akan mengadakan mesyuarat-mesyuarat untuk membincangkan perkara-perkara penting (essential matters),” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Khas bagi membincangkan perintah berkenaan di sini pagi tadi.

Turut serta, hampir kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bagi membendung penularan wabak COVID-19 dalam negara, Kerajaan Persekutuan melalui pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam telah memutus untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Di peringkat negeri, Kon Yeow turut mengumumkan penubuhan pasukan khas dalam usaha menangani wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.

Menurut beliau, ianya adalah terdiri daripada pasukan khas COVID-19 di bawah kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Jawatankuasa Kecil Komunikasi dan Pemberdayaan Masyarakat di bawah tanggungjawab Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

“Bagi pasukan khas COVID-19, ia sememangnya telah berjalan dan kini kita (Kerajaan Negeri) akan menggerakkannya secara lebih efektif dengan mengadakan mesyuarat setiap hari bermula esok berbanding (mesyuarat) seminggu sekali.

“Bagi memperkasakan lagi pasukan khas ini, YB Dr. Norlela Ariffin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) serta Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dilantik sebagai ahli selain daripada agensi-agensi yang berada di dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

“Manakala, Jawatankuasa Kecil Komunikasi dan Pemberdayaan Masyarakat pula akan bertindak untuk merancang serta melancarkan kempen-kempen komunikasi dengan memberikan maklumat tepat… jika sebelum ini (komunikasi) hanya bergantung kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, tetapi kini kita akan menggerakkan penglibatan semua rakyat dalam membendung wabak ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Berdasarkan perkembangan semasa dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Kon Yeow turut mengumumkan peruntukan bajet tambahan berjumlah RM20 juta khususnya bagi membantu peniaga kecil dan penjaja yang terjejas dan perincian lanjut akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan sebelumnya telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menampung keperluan mereka yang terjejas akibat penularan wabak pandemik COVID-19, namun Kerajaan Negeri sedar banyak sektor akan menerima impak daripada perintah tersebut terutamanya golongan peniaga kecil serta penjaja.

“Kita masih meneliti bagaimana boleh membantu peniaga-peniaga kecil dan golongan penjaja yang terkesan daripada wabak ini khususnya selepas perintah larangan ini berkuatkuasa.

“Justeru, pihak Kerajaan Negeri akan memperuntukkan bajet tambahan berjumlah RM20 juta untuk pemberian insentif-insentif tertentu supaya dapat membantu meringankan beban golongan terjejas,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD