Perjuangan menegakkan hak-hak wanita akan diteruskan – Ketua Menteri

Admin
img 20240308 wa0014

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan perjuangan dalam menegakkan hak-hak golongan wanita di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang telah mencatatkan pelbagai pencapaian memberangkangsan, namun masih terdapat banyak ruang perlu diberikan perhatian untuk memastikan golongan itu dapat menikmati kedudukan setara dengan lelaki.

“Dalam tempoh 20 tahun ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan di negeri ini terutamanya dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sebagai agensi peneraju pelaksanaan dasar-dasar serta program untuk memperkasakan wanita.

img 20240308 wa0016

img 20240308 wa0011

img 20240308 wa0012

img 20240308 wa0009

“Pada peringkat KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) pula, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) untuk menggemleng tenaga dari akar umbi untuk menyampaikan mesej kepada wanita.

“Semua inisiatif yang dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk membawa wanita tampil ke arus perdana dan memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam pembangunan negeri serta negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program mengedarkan bunga di sekitar Pasar Chowrasta dekat sini sebentar tadi.

Pada program tersebut, Kon Yeow telah mengedarkan 500 kuntum bunga teluki kepada peniaga serta pengunjung wanita di sekitar pasar berkenaan.

Kon Yeow menyatakan bahawa program tersebut dilaksanakan setiap tahun sebagai simbolik penghargaan atas peranan, pengorbanan dan harapan golongan wanita kepada negara serta negeri Pulau Pinang.

“Acara ini lazim diadakan setiap tahun dan bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota khususnya kita sudah jalankan program ini kira-kira 20 tahun lalu.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah, semoga perjuangan ini akan diteruskan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD