Perjumpaan dengan agensi kerajaan bincang isu keselamatan jalan negeri – Exco

BAYAN BARU – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng bakal mengadakan perjumpaan bersama-sama agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan berwajib bagi membincangkan isu keselamatan di jalan-jalan negeri seluruh Pulau Pinang.

Tindakan tersebut adalah rentetan kejadian seorang warga emas yang terjatuh ke dalam parit besar antara dua Jalan Persekutuan iaitu FT220 dan FT281 berdekatan Setia SPICE Centre, Jalan Tun Dr. Awang di sini.

“Jalan ini merupakan Jalan Persekutuan, dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik kontraktor Belati Wangsa Sdn. Bhd. untuk membina tembok berbentuk L setinggi satu meter.

“Apabila siap kelak, ia akan membentuk tembok segi empat berbanding sebelum ini hanya tembok berbentuk L,” ujarnya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak berkaitan baru-baru ini.

Hadir sama, pegawai berwajib dari JKR Daerah Timur Laut.

Hock Seng dalam pada itu turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan semua agensi kerajaan berwajib bagi membincangkan isu keselamatan jalan di semua jalan-jalan negeri termasuk menilai semula kawasan selamat, keselamatan parit dan longkang dan pembahagi laluan.

Mengulas lanjut, menurut Hock Seng, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sebelum ini turut mengadakan tinjauan di kawasan kejadian.

“Malah, beliau juga telah melawat keluarga mangsa dan menyerahkan sumbangan wang tunai selain menzahirkan ucapan takziah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Difahamkan, dalam kejadian 14 Julai lalu, mangsa yang sedang memandu dalam hujan lebat terperangkap dalam banjir kilat dan keluar meninggalkan keretanya di tepi jalan.

Mangsa kemudiannya dipercayai berjalan ke tempat tinggi dan melintasi jalan sebelum terjatuh ke dalam parit berkenaan yang tenggelam dilitupi air banjir.