Salur insentif galak Program Perkebunan Komuniti, tingkat produktiviti makanan negeri

MACHANG BUBOK – Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP) meluluskan RM3,370,000 insentif kepada petani dan usahawan industri asas tani (IAT) pada 2017, berbanding RM3,180,000 (2016).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyalurkan sejumlah peruntukan bagi Program Perkebunan Komuniti dengan kerjasama JPNPP serta beberapa jabatan lain demi menggalakkan lagi penduduk bandar terlibat dalam sektor pertanian.

“Tujuan utama program ini ialah untuk membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup dengan mengeluarkan sendiri sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan.

“Usaha ini akan dibantu oleh pihak Jabatan Pertanian (JPNPP) melalui insentif dan khidmat nasihat secara berterusan kepada institusi, agensi, individu dan komuniti yang terlibat,” ujarnya pada Majlis Hari Bertemu Pelanggan 2017 di pejabat JPNPP di sini baru-baru ini.

Pengarah JPNPP, Rozaidi Abdul Rahman turut berucap pada majlis tahunan itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Afif yang juga ADUN Seberang Jaya menyatakan bahawa agensi pelaksana negeri merangka pelbagai inisiatif dan polisi demi pembangunan sektor agro makanan tempatan bagi memastikan industri tersebut kekal relevan di Pulau Pinang.

“(Di bawah Program Perkebunan Komuniti ini), RM72,000 peruntukan telah disalurkan kepada 1,002 peserta pada tahun 2017, berbanding RM48,500 kepada 485 peserta (2016),” jelasnya.

Selain itu, tambah Afif, Kerajaan Negeri pada 2016 turut memberikan insentif kepada 52 pihak yang perladangan mereka berjaya mencapai piawaian pensijilan skim myGAP, berbanding 37 pihak pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, insentif Kerajaan Negeri turut diberikan kepada enam pihak peladang yang berjaya mencapai piawaian pensijilan skim myOrganic pada 2016, berbanding empat pihak pada tahun sebelumnya.