“Alhamdulillah, kini kami boleh menjaja tanpa perlu berebut tempat,” Muhammad Faizal

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PANTAI JEREJAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak menyeru golongan peniaga kecil dalam kalangan penjaja pasar malam agar tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya serta mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

ADUNnya, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika dan menipu pengguna, malah ia adalah salah mengikut undang-undang.

“Janganlah kita (peniaga-peniaga kecil) bersikap seperti menangguk di air keruh.

“ Walaupun cabaran sememangnya terasa setelah pelaksanaan GST, namun janganlah anda mengambil kesempatan di atas perkara tersebut dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya hingga membebankan para pengguna.

“Kerana, sekiranya anda (peniaga) sedar, kebanyakan penduduk setempat menjadikan pasar malam sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan barangan keperluan mingguan. Ini adalah kelebihan anda yang berniaga di pasar-pasar malam kerana dekat dengan pengguna,” ujarnya yang merupakan Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat pada Majlis Penyerahan Khemah Kepada Golongan Penjaja Kecil Di Pasar Malam Kampung Jawa dekat Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 10 khemah bersaiz 3 meter (m) x 3m disumbangkan kepada peniaga-peniaga terpilih di situ.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Jawa, V. Thambusamy.

Bagi salah seorang penerima, MUHAMMAD FAIZAL ABD. RAHMAN, 38, yang menjalankan perniagaan menjual bihun Singapore lebih 10 tahun berpendapat bahawa golongan penjaja-penjaja kecil kini lebih mudah mendapat lesen dan ruang untuk menjaja.

“Alhamdulillah, kini kami boleh menjaja tanpa perlu berebut-rebut tempat di pasar malam ekoran tidak mempunyai lesen dan ruang menjaja yang tetap.

“Jika dahulu, sampai lambat sedikit, pasti ruang menjaja akan jadi rebutan ekoran tak ada tempat khas yang disediakan untuk setiap penjaja (di pasar malam), malah lesen juga susah untuk dimohon.

“Tetapi kini (di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan), kami sudah mempunyai lesen, dan bagi setiap pasar malam, pastinya disediakan satu ruang tetap untuk setiap peniaga tanpa perlu dipertikaikan (bergaduh) lagi,” jelasnya.

Manakala, bagi ARTINE ABU HASSAN , 58, beliau mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Mohd. Rashid menyumbangkan khemah kepada golongan peniaga, yang mana ia (khemah) merupakan kelengkapan penting kepada golongan penjaja untuk mencari rezeki setiap hari.