Perkampungan Juru menang tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2024, dapat geran RM500,000

Admin
c117bbc7 8b33 4912 b3c0 80840134861d KOLAM buatan serta lanskap sekitar di Perkampungan Juru dikatakan antara faktor utama kampung baru ini dipilih memenangi tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2024 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada minggu lepas.

PERKAMPUNGAN Juru dekat daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah dipilih sebagai pemenang tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2024 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada minggu lepas.

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perkampungan Juru di bawah kepimpinan pengerusinya, CHEH KIM WENG, 61, telah membawa pulang geran persekutuan berjumlah RM500,000.

f5dfe4c5 69e5 41e0 976f cb77eb19a139
GOOI Hsiao-Leung

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, GOOI HSIAO-LEUNG berkata, sebelum inipun Perkampungan Juru pernah mendapat beberapa anugerah baik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), negeri mahupun kebangsaan.

“(Tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2024) ini merupakan suatu pencapaian cukup besar yang mana pertandingan ini bukan peringkat negeri, tetapi peringkat kebangsaan.

“Tahu tidak tahu di Malaysia ada 613 kampung baru, jadi untuk mendapat anugerah (tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2024) ini bukan suatu perkara yang kecil.

“Selain itu, ini bukan kali pertama Perkampungan Juru mendapat beberapa anugerah pencapaian antaranya kampung baru ini pernah mendapat tempat ketiga Pertandingan Kampung Bersih Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 2021 dan naib johan Anugerah Landskap Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 sempena Hari Landskap Malaysia,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di pejabat MPKK Perkampungan Juru di sini pada 16 Jun 2025.

a931a0f3 33bd 45a9 9d7a 6b5bf296981c
STRUKTUR binaan patung ayam jantan yang menghiasi lanskap kolam buatan di sini membawa maksud yang mendalam; serta salah satu daripada 12 haiwan dalam kitaran zodiak Cina dengan ciri-ciri seperti rajin, tekun, tegas, jujur, bercakap terus terang dan mementingkan perhatian terhadap penampilan dan disiplin.

Menyorot sejarah, Perkampungan Juru secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1952, iaitu sebelum negara mengecapi kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Perkampungan Juru dianggap berkait rapat dengan sejarah penentangan komunis semasa darurat (1948–1960) dan dasar penempatan semula yang dilaksanakan oleh pentadbir pra-kemerdekaan di bawah British.

img 8740
CHEH Kim Weng

Chow Hoe merupakan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perkampungan Baru yang pertama bagi tempoh tahun 1952 hingga 1969, sebelum berpindah tangan kepada Chew Lai Seng (1969-1974), Teoh Peng Khiam (1974-1978), Na Cheng Seah (1978-2000) dan Lim Chin Chai (2000-2008).

Kim Weng merupakan merupakan tonggak utama komuniti yang mengemudi JKKK atau kini dikenali sebagai MPKK Perkampungan Juru.

Beliau memberitahu Buletin Mutiara ketika ini Perkampungan Juru mempunyai lebih 300 unit kediaman bertanah dengan taburan penduduk kira-kira 2,000 orang.

53d46268 a52d 4cf6 b2f5 917cd5e683c5
K. C. Ng

Pegawai Kemajuan Perkampungan KPKT bagi Daerah SPT, K. C. Ng, 56, memberitahu bahawa tujuan kementerian menganjurkan semula Pertandingan Kampung Baru 2024 antara lain untuk menghargai peranan komuniti yang masih mendiami 613 buah kampung baru di seluruh negara.

“Di sebalik penganjuran Pertandingan Kampung Baru sekarang ini, tujuannya lebih untuk meningkatkan kegiatan sosioekonomi penduduk di samping menarik minat generasi muda untuk terus ‘menghidupkan’ kampung-kampung yang sedia ada.

“Kampung-kampung baru di seluruh negara sekarang ini memang memerlukan ‘produk ekonomi’ sendiri; perlu projek infrastruktur setempat seperti jalan, laluan pejalan kaki, landskap dan sistem perparitan,” jelasnya lagi.

0ec1ca4e 5604 4c88 98a3 9a1b2b0ab9f9
ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara menjelang tengah hari hari.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa KPKT bagi tahun ini memperuntukkan RM1,904.380 juta khusus untuk pelaksanaan sembilan projek pembangunan infrastruktur berkaitan di enam kampung baru dekat daerah SPT dan satu kampung baru di daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitu Kampung Selamat.

“Selain projek infrastruktur awam, kita (wakil KPKT pada peringkat daerah) ada melakukan projek baik pulih rumah (yang mana) sehingga kini kita sedang membaik pulih dua unit kediaman ‘kampung baru’ dekat Machang Bubuk – melibatkan peruntukan RM37,970.

“Sementara di ‘kampung baru’ dekat Perkampungan Juru, sehingga tahun lepas sahaja telah banyak projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih rumah (daif) dilaksanakan,” tambahnya lagi.

Mengakhiri bicara wara, Hsiao-Leung berkata, beliau berharap Perkampungan Juru boleh terus dimajukan sehingga dianggap sebagai kampung yang kaya dengan kebudayaan dan warisan setempat.

“Dengan sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim kepada kampung-kampung baru bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini senantiasa memberi perhatian dalam kemajuan kampung-kampung baru.

“Pada tahun lepas (2024), Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan khusus untuk kampung-kampung baru sebanyak RM84 juta.

“Begitu juga Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, bagi saya turut memberi perhatian pada kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur di kampung-kampung negeri… beberapa tahun belakangan ini kita boleh lihat ada gelanggang bola keranjang baharu.

“Kewujudan kampung-kampung baru ini menunjukkan inklusif dan kewujudan rakyat berbilang kaum (yang mana) kampung-kampung baru ini adalah warisan yang cukup penting dari sudut sejarah dan perlu dianggap sebagai suatu ‘warisan hidup’,” katanya.

Beliau turut menyokong sekiranya MPKK Perkampungan Juru berhasrat untuk memanfaatkan sebahagian peruntukan persekutuan yang berjumlah RM500,000 untuk membina pintu gerbang masuk yang bakal menjadi mercu tanda kewujudan kampung baru tersebut di sini.

729c79f9 fa64 4584 9bf3 6f2cd962b25e
GOOI Hsiao-Leung (empat dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan barisan pemimpin komuniti MPKK Perkampungan Juru sambil memegang cek replika pemenang tempat ketiga Pertandingan Kampung Baru 2025 yang bernilai RM500,000 di sini.