Perkasa usahawan wanita bertahan, berkembang dalam dunia kompetitif

Admin
da0f03f9 47fa 4e71 81ab de33fd0f687b

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah memperlihatkan komitmen serius dalam memperkasakan usahawan wanita di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam tempoh enam tahun lalu, seramai 433 usahawan wanita telah dilatih melalui program melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Antaranya, program-program pembelajaran dan bimbingan seperti PenMentor yang mana telah melatih dan membimbing 433 usahawan wanita dalam tempoh 2019 hingga 2025.

“Hasilnya, ia telah melibatkan purata peningkatan pendapatan para peserta sekitar 30 peratus setahun, yang mana ia menunjukkan hasil nyata usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa golongan wanita bukan sahaja untuk bertahan, tetapi juga berkembang dalam dunia perniagaan yang kompetitif,” ujarnya ketika merasmikan Program PADURI MADANI  Central Muslim Society (CMS) Bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz; Presiden CMS, Mohamed Hasan Othuman dan Ketua Wanita CMS, Zafrina Ismail.

d63ec322 d07d 4a49 8f81 a3fd01c67872

Kon Yeow dalam pada itu menyifatkan program PADURI MADANI Pemerkasaan Usahawan Wanita adalah antara program pengumuman bajet yang diterjemahkan terus ke lapangan.

“PADURI MADANI saya rasakan amat bagus, yang mana kita lihat macam mana dari satu pengumuman program dalam bajet diterjemahkan dalam lapangan melalui agensi pelaksanaan, iaitu AIM.

“Program ini juga bertujuan memperkasakan usahawan wanita dan kita merasakan ia adalah amat bermakna sebagai satu dana pemula, sebab kita sedia maklum apa yang boleh dipinjamkan pun mula daripada asas, RM3,000 sehingga RM55,000,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Difahamkan, menerusi PADURI MADANI, usahawan-usahawan wanita diberikan bimbingan melalui mentorship dan kemudahan pinjaman oleh AIM.

Dalam membantu usahawan-usahawan juga, Kon Yeow menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus (PDCSU) untuk berbincang lanjut bersama AIM bagi mengisi kekosongan 40 lot premis di Komtar secara percuma bagi tahun pertama.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD