Perkhidmatan kutipan sampah sempena Tahun Baru Cina ditambah – YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini mengumumkan penambahan perkhidmatan untuk kerja-kerja kutipan sampah pukal sempena Tahun Baru Cina.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, perkhidmatan tambahan tersebut akan bermula pada 28 Januari hingga 4 Februari ini.

“Penduduk Seberang Perai boleh menghubungi pegawai kawasan bagi mendapatkan perkhidmatan kutipan atau boleh meletakkan sampah pukal bersebelahan dengan tong komunal.

“Manakala kutipan harian akan dijalankan bagi semua tong komunal dengan tambahan sebanyak dua kali sehari manakala bagi tong individu pula akan dijalankan seperti biasa.

“Kutipan dari tong komunal akan dibuat pada 3 dan 4 Februari 2019 iaitu dari jam 7.00 hingga 4.00 petang bagi kutipan pertama dan 4.00 hingga 10.00 malam bagi kutipan kedua,” ujarnya dalam Mesyuarat Majlis Penuh MPSP, dekat Bandar Perda pagi ini.

Bagi senarai pegawai kawasan berkaitan sila layari laman sesawang http://www.mpsp.gov.my.

Dalam perkembangan lain, Rozali turut memaklumkan tarikh akhir bagi menjelaskan cukai taksiran penggal pertama 2019 adalah pada 28 Februari ini.

“Kaunter Berpusat MPSP akan dibuka pada Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Februari ini yang mana pembayaran boleh dibuat seawal jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan operasi kaunter akan dilanjutkan sehingga jam 8.30 malam pada 28 Februari.

“Pembayar juga boleh membuat pembayaran melalui dalam talian melalui laman web MPSP, laman web Kerajaan Negeri dan ejen-ejen yang sah.

“Selepas tarikh tersebut, MPSP akan mengenakan Caj Notis (Borang E) sebanyak RM10.00 ke atas pembayar cukai yang gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh ditetapkan,” tegasnya lagi.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi MPSP di talian 04-5497 470/471/891/790 atau e-mel ke [email protected].

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS