Perkukuh agenda pembangunan bakat, modal insan sejajar keperluan industri berteknologi tinggi

whatsapp image 2025 11 03 at 11.46.40

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperkukuh agenda pembangunan bakat dan modal insan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, perkara itu dibincangkan secara konsisten dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sains dan Teknologi yang diadakan secara berkala sejak beliau menerajui MMK Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.

“Mesyuarat yang diadakan ini bukan sahaja bertujuan membincangkan hala tuju pembangunan Pulau Pinang tetapi juga aspek pembangunan modal insan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” ujarnya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini pada 3 November 2025.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng, bersama-sama wakil pelbagai jabatan dan agensi.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata, dalam memperkukuh sinergi, Kerajaan Negeri turut berkolaborasi dengan pelbagai jabatan dan agensi luar seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP); Institut Jurutera Malaysia (IEM), Pusat Pengajian Marin dan Pesisir Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk agensi negeri seperti Penang Science Cluster (PSC); Tech Dome Penang dan Penang Math Platform.

Hasil kolaborasi ini, sebanyak 22 program berkaitan sains, teknologi dan pembangunan modal insan telah berjaya dilaksanakan tahun ini di bawah portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, antaranya STEM Grooming Camp, Math Fair 2025, dan Discovering GEMS (Great English and Math Stars).

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk agensi Persekutuan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri, selain turun padang ke lebih 50 lokasi perindustrian bagi memahami keperluan sebenar sektor itu,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat atas komitmen menjayakan usaha memperkukuh ekosistem sains dan teknologi di Pulau Pinang.

whatsapp image 2025 11 03 at 14.38.21
JAGDEEP Singh Deo (kanan) mengiringi Ketua Menteri usai sidang media pengumuman penganjuran Penang International Science Fair 2025 di Wisma Yeap Chor Ee baru-baru ini.

Tambahnya lagi, semua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memberi fokus terhadap pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia STEM serta kemahiran era kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat berkembang kini.

Dalam pada itu, Jagdeep memaklumkan bahawa Pulau Pinang kini menempatkan lebih 450 syarikat multinasional (MNC) dan 7,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari serata dunia.

Angka ini terus berkembang dengan pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) dan Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam, yang mampu menarik lebih banyak pelaburan industri berteknologi tinggi ke negeri ini.

“Pulau Pinang sedang mewujudkan ruang untuk dunia datang ke sini, pada masa sama memastikan negeri ini mempunyai tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Bercakap mengenai perancangan bagi tahun 2026, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah merangka beberapa inisiatif dengan tumpuan utama adalah kepada empat program iaitu STEM Grooming Camp; Blue Frontiers: Meneroka Sains dan Teknologi Marin untuk Masa Depan; Aerostem 2025 dan Math Fair 2025.

whatsapp image 2025 11 03 at 11.28.42

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memaklumkan bahawa Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Science Fair – PISF) akan berlangsung pada 8 dan 9 November ini di SPICE Arena, yang dijangka menarik kehadiran lebih 60,000 pengunjung menjadikannya pameran sains terbesar di negara ini.

Pameran tersebut terbuka kepada orang ramai dan melibatkan penyertaan daripada 13 negeri, tiga Wilayah Persekutuan serta 73 organisasi dan institusi pendidikan dengan pelbagai bengkel dan pameran interaktif disediakan.

“Tahun ini penganjuran PISF dijangka lebih baik berbanding tahun sebelumnya, bukan sahaja dari segi untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peluang di sekeliling mereka, tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama dengan industri serta institusi yang berpengalaman bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing,” jelasnya.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: LAW SUUN TING