Perkukuh kesiapsiagaan bekalan tanah industri tampung permintaan pelabur masa hadapan

Admin
img 20261103 wa0025

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bersedia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi menerusi penyediaan kawasan tanah industri baharu serta ekosistem sokongan yang mampu memenuhi keperluan pelabur tempatan dan antarabangsa.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menjawab Soalan Lisan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff berkata bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memastikan Pulau Pinang bersiap siaga dari pelbagai aspek bagi meyakinkan pelabur bahawa negeri ini mempunyai ekosistem industri yang telah terbina dan berupaya menyokong pengembangan operasi mereka.

 

Menurutnya, antara kawasan yang mempunyai potensi pembangunan industri adalah di Bukit Tambun yang menawarkan sekurang-kurangnya 300 ekar tanah, selain kawasan di Penang Science Park.

 

“Usaha kita adalah untuk meyakinkan pelabur bahawa Pulau Pinang sentiasa bersiap siaga dari segala segi termasuk infrastruktur dan rantaian bekalan yang mampu menarik minat mereka, khususnya menerusi ekosistem yang telah terbina,” ujar beliau pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

 

Sebagai tambahan, Kon Yeow menyatakan bahawa kawasan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP 2) di Byram turut mempunyai potensi besar untuk pembangunan industri dengan keluasan lebih 1,000 ekar.

 

“Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memutuskan supaya pembukaan taman perindustrian tersebut dilaksanakan secara berfasa.

 

“Pendekatan itu penting bagi memastikan bekalan tanah industri mencukupi untuk memenuhi permintaan sektor pembuatan dan keperluan pelabur tempatan dan asing pada masa hadapan,” jelasnya sambil memperakui pengalaman dan keupayaan lebih 50 tahun PDC dalam pembangunan taman perindustrian di negeri ini.

 

Selain pembangunan oleh PDC, Kon Yeow memberitahu bahawa pemaju swasta turut mengambil inisiatif memperluas kapasiti tanah perindustrian negeri, antaranya di Kepala Batas yang menyaksikan kerja-kerja infrastruktur telah dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Mengulas hasil misi pelaburan dan perdagangan Pulau Pinang ke Amerika Syarikat pada 28 September lalu, Kon Yeow berkata bahawa lawatan berkenaan bertujuan memperbaharui hubungan serta memperkukuh kerjasama dengan pelabur di sana, selain menggalakkan pengembangan operasi sedia ada dan menarik pelaburan baharu ke negeri ini.

 

Tambah beliau, delegasi negeri telah mengadakan pertemuan bersama 16 pelabur strategik di San Jose, melibatkan syarikat terkemuka dalam sektor semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju serta pembuatan berteknologi tinggi.

 

“Antara syarikat dan pihak berkepentingan yang terlibat termasuk AMD, Coherent, Agilent, Cadence, Intuitive, Lam Research, Intel, Altera, Sandisk, Micron, SEMI Headquarters, Bank of America dan Applied Materials.

 

Sesi perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada momentum pertumbuhan luar biasa yang dipacu oleh kitaran super kecerdasan buatan (AI) global serta kesan transformatifnya terhadap pelbagai sektor industri.

 

“Syarikat-syarikat yang terlibat menyatakan bahawa kepastian terhadap permintaan dan pesanan pelanggan semakin meningkat, di samping jangkaan pertumbuhan yang memberangsangkan,” ulas ADUN Padang Kota itu lagi.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkembangan tersebut turut mendorong syarikat menilai semula keperluan strategik masing-masing, khususnya dari segi tenaga kerja berkemahiran tinggi, kapasiti pengujian serta keupayaan rantaian bekalan bagi menyokong pengembangan operasi.

 

Sejajar dengan perkembangan itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa delegasi Pulau Pinang turut mengetengahkan dua inisiatif strategik negeri, iaitu Penang Silicon Design @ 5km+ dan Kampus Automated Test Equipment (ATE) Malaysia di Pulau Pinang.

 

“Kedua-dua inisiatif berkenaan menyediakan ekosistem yang membolehkan syarikat mempercepat pembangunan produk, memperluas kapasiti ujian serta memodenkan operasi menerusi hubungan lebih bersepadu antara aktiviti reka bentuk, pembuatan dan pengujian,” katanya.

 

Mengulas mengenai nilai serta pecahan pelaburan yang dijangka diperoleh daripada misi berkenaan, Kon Yeow berkata, proses pelaburan syarikat asing lazimnya mengambil masa beberapa tahun sebelum keputusan muktamad dibuat.

 

Proses pelaburan syarikat asing biasanya mengambil masa selama beberapa tahun dari permulaan perbincangan, pemilihan tapak, rundingan tawaran sehingga mencapai keputusan melabur.

 

“Justeru, hasil dan pecahan pelaburan ekoran daripada misi pelaburan ke Amerika Syarikat baru-baru ini masih tidak dapat dijangka secara tepat,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

Beliau, walau bagaimanapun, optimis hasil perbincangan dan maklum balas yang diperoleh mampu memperkukuh usaha Pulau Pinang dalam meningkatkan ekosistem pelaburan, menyesuaikan diri dengan keperluan syarikat global serta memposisikan negeri ini bagi fasa pertumbuhan bernilai tinggi seterusnya.

 

“Melalui kerjasama berterusan dengan rakan antarabangsa, Pulau Pinang kekal komited untuk membina persekitaran pelaburan yang berdaya tahan dan berdaya saing, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang kepada negeri serta komuniti perniagaan global,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD