Perkukuhkan pendekatan dari bawah ke atas, syor Perdana Menteri

Admin
5dd05b2d 43e0 4aa0 81fb 6efd2e528c85 SUASANA Kenduri Rakyat Bersama-sama Perdana Menteri Ke-10 Malaysia di Kampung Cheruk Tok Kun yang turut dihadiri Ketua Menteri dan Steven Sim Chee Keong di sini pada 5 Mei 2024.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas dalam membuat dasar berkaitan dengan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada rakyat kebanyakan.

a4bb72be 1a4e 4299 9377 57cf892715fd
ANWAR Ibrahim

Bagi memperkukuh pendekatan itu, Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berharap sekalian anggota Jemaah Menteri hingga penjawat awam gred atasan supaya memilih kawasan kampung bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada mereka yang berkenaan.

Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak itu berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kenduri Rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Kampung Cheruk To’ Kun di sini pada 5 Mei 2024.

“Pada Rabu ini, saya akan bentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri… semua menteri kena pilih kampung… pergi ke kampung dengar masalah orang kampung.

“Saya percaya dengan cara ini (pendekatan dari bawah ke atas), boleh selesai (isu penyaluran bantuan tanpa berlaku ketirisan)… kerana saya lihat peruntukan (bagi membantu rakyat terpilih) banyak,” jelasnya.

Dalam belanjawan Madani pada tahun hadapan, Anwar mencadangkan penyaluran peruntukan Persekutuan kepada kampung minimum RM50,000 sampai kadar maksimum RM100,000 untuk program ekonomi rakyat di peringkat kampung masing-masing.

“Ini, suatu pendekatan yang akan kita buat… bentuk projek bukan saya atau pegawai pertanian tertentu, orang kampung boleh tentukan sendiri,” ujarnya.

Selain itu, Anwar menyatakan bahawa cadangan pelaksanaan kenaikan gaji kira-kira 13 hingga 15 peratus kepada sekalian penjawat awam bermula pada bulan Disember nanti, sebagaimana diumumkan semasa Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan pada 1 Mei lepas, susulan mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan sebelum ini.

77cb433a 51a8 4faa a14e 6a962111d78a
KETUA Menteri

Berucap sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji komitmen pentadbiran Anwar dalam menoktahkan isu kemiskinan tegar sampai angka sifar di Pulau Pinang pada bulan Jun ini.

Sehingga sehingga 29 April 2024, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahaw Pulau Pinang mencatatkan seramai 45 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar berbanding 4,949 KIR pada 31 Januari 2023.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan semua pihak yang bertungkus lumus dalam mengenal pasti keluarga yang terlibat dan menyalurkan bantuan supaya keluarga ini keluar daripada garis kemiskinan tegar.

“Ketika ini, ICU (Jabatan Perdana Menteri, PMO) telahpun menyalurkan bantuan khas kewangan selama tiga bulan berturut-turut bermula April sehingga Jun 2024 kepada KIR yang terlibat dalam usaha mencukupkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan.

“Kini, tiada lagi keluarga yang tergolong di bawah garis kemiskinan tegar di Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan data ini dapat dikekalkan sehingga bantuan khas ini dihentikan pada Julai kelak,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Turut serta, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam; Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; mantan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI