Perlawanan Liga FAP bermula, diharap kembalikan sinar bola sepak negeri

Admin

Perlawanan Liga FAP bermula, diharap kembalikan sinar bola sepak negeri

GEORGE TOWN – Liga Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memulakan sepak mula bagi ketiga-tiga divisyen  kelmarin.

Menurut Timbalan Presiden FAP merangkap Pegawai  Hal Ehwal Khas Ketua Menteri , Lau Keng Ee, Liga FAP amat dinanti-nantikan oleh semua peminat bola setelah terhenti kira-kira lima tahun.

“Saya bersyukur selepas satu tempoh yang lama Liga FAP selaku liga tempatan terbesar dapat dimainkan semula.

 

 

“Diharap, liga kali ini dapat menarik semula muda -mudi negeri ini untuk berkecimpung dalam sukan bola sepak dan mengembalikan sinar bola sepak Pulau Pinang seperti yang dihasratkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

 

“Dalam menjayakan liga ini, kami berterima kasih kepada Ketua Menteri yang telah menyalurkan dana bagi menaja Divisyen 1 dengan peruntukan lebih RM80,000.

 

 

“Bagi Divisyen 2 ia ditaja oleh redONE dan Divisyen 3 pula ditaja oleh TG Ocean Health Food Industry (Oat King),” ujar beliau kepada pemberita sebelum sepak mula ketiga-tiga perlawanan yang berlangsung serentak.

 

Hadir sama, Pengarah redONE Wilayah Utara, Alex Leon; Pengarah Urusan Oat King, Ong Thor Guan dan Penasihat Undang-undangnya, Lim Choo Hooi.

Pada perlawanan Divisyen 1 menyaksikan pertemuan antara Macallum SC bertemu Bukit Gelugor FC, Penjara FC menentang Perai Rovers (Divisyen 2) dan Teluk Bahang FC membuat perhitungan dengan Chinese Wonderers (Divisyen 3).

Dalam pada itu, Alex ketika ditemui berkata, pihaknya menzahirkan rasa minat setelah Ketua Menteri menzahirkan hasrat mengembalikan kegemilangan bola sepak Pulau Pinang.

 

“Atas hasrat tersebut, kami berminat untuk bekerjasama demi memartabatkan sukan bola sepak dan galakkan orang Pulau Pinang main bola sepak semula selepas lama terhenti,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

 

Sementara itu, Thor Guan menyatakan, selaku badan swasta, mereka perlu menyokong aktiviti yang melibatkan pihak kerajaan sebagai aktiviti sosial dan amal melalui pelbagai saluran.

“Kali ini sokongan diberikan melalui saluran sukan, diharap semua pasukan bertanding dengan penuh semangat kesukanan demi menjulang sukan bola sepak negeri ini,” katanya ketika ditemui di lokasi perlawanan di Padang Polo dekat sini.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI