Permit sementara perniagaan dari rumah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022

Admin

GEORGE TOWN – Tempoh pengeluaran dan pembaharuan Permit Sementara Perniagaan Dari Rumah (Business From Home) bagi pengusaha  yang menjalankan perniagaan berskala kecil di kediaman yang diduduki sendiri di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilanjutkan setahun lagi.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey berkata, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Bilangan 18 Tahun 2021 yang diadakan pada 4 Oktober lalu telah meluluskan pelanjutan tempoh bagi pengeluaran dan pembaharuan Permit Sementara Perniagaan Dari Rumah.

 

Jawatankuasa Tetap tersebut telah sebulat suara bersetuju untuk meluluskan pengeluaran permit tersebut dilanjutkan setahun lagi, iaitu mulai 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

 

“(Pelanjutan ini) diberikan kepada peniaga-peniaga kecil yang sedang menggunakan rumah kediaman yang diduduki bersama-sama ahli keluarga bagi menjalankan perniagaan berskala kecil.

 

“Walau bagaimanapun, perniagaan yang dijalankan tersebut mestilah tidak berisiko dan tidak menimbulkan kacau ganggu serta tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat perlesenan yang ditetapkan,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 10/2021 yang diadakan secara telesidang menerusi platform Zoom Meeting pada 25 Oktober 2021.

 

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang hadir mempengerusikan mesyuarat berkaitan dan dihadiri oleh barisan Ahli Majlis, ketua jabatan serta pegawai kanan berkaitan.

 

Sebelum ini MBPP telah meluluskan pengeluaran permit sementara perniagaan dari rumah mulai 1 November 2020 sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu rakyat di negeri ini yang telah hilang pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Sebagai rekod, sehingga hari ini sebanyak 74 permit sementara telah dikeluarkan kepada pemohon yang layak dan memenuhi syarat perlesenan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN