Permohonan Anugerah Pelajar Cemerlang Padang Kota, Batu Kawan dibuka hingga 7 Ogos

Admin
7d746c1b 7cee 4072 8d8e d72a45edef43

GEORGE TOWN – Permohonan Anugerah Pelajar Cemerlang bagi kawasan Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan kini dibuka sehingga 7 Ogos ini, jam 5 petang, sebagai usaha mengiktiraf pencapaian akademik pelajar selain menyuntik motivasi untuk terus mencapai kecemerlangan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee berkata, program yang telah dilaksanakan lebih enam tahun itu kini diperluaskan kepada dua kawasan dengan penganjuran pada tarikh yang sama, namun pada waktu berbeza.

“Program ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik dan pada masa sama menjadi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha.

“Permohonan dibuka kepada pelajar sekolah kerajaan yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan syarat sekolah berkenaan mestilah berada di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media program berkenaan di sini, sebentar tadi.

Menurut Keng Ee, lima kategori ditawarkan iaitu murid Darjah 1 hingga 3 yang memperoleh sekurang-kurangnya enam Tahap Penguasaan (TP) 5; murid Darjah 4 hingga 6 dengan purata markah sekurang-kurangnya 80; pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dengan purata markah minimum 80; pelajar Tingkatan 5 yang memperoleh sekurang-kurangnya 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); serta pelajar Tingkatan 6 yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.7 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Penerima bagi kategori Darjah 1 hingga 4 masing-masing menerima wang tunai RM100 berserta pingat dan sijil, manakala kategori SPM menerima RM300 dan STPM menerima RM500, selain pingat dan sijil,” jelasnya.

c4b1da05 54eb 4574 9f28 414fb8ce8be6 7ffad0ae 2e56 41fe a7c0 a57bca7fe05f
Dalam pada itu, Keng Ee turut memaklumkan bahawa syarat permohonan menetapkan kelayakan mengikut kawasan bagi Padang qKota dan Batu Kawan bagi memastikan anugerah berkenaan diberikan kepada pemohon yang benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan.

“Bagi Padang Kota, permohonan terhad kepada ibu bapa atau pengundi yang bermastautin di kawasan berkenaan atau pelajar yang bersekolah dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota.

“Manakala bagi Batu Kawan, permohonan terhad kepada pengundi di kawasan Parlimen Batu Kawan, sama ada ibu atau bapa, manakala anak boleh bersekolah di mana-mana sekolah di Pulau Pinang,” ujarnya.

Tambah beliau, pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan ibu atau bapa, sijil kelahiran anak serta salinan keputusan peperiksaan atau penyata sekolah.

“Dokumen seperti keputusan sekolah perlu disahkan oleh pihak sekolah bagi setiap muka surat, kecuali keputusan SPM dan STPM kerana data berkenaan tersedia dalam sistem.

“Bukti tempat tinggal seperti bil elektrik atau perjanjian sewa juga diperlukan bagi menunjukkan status pemohon yang bermastautin di kawasan ditetapkan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan diterima, Keng Ee berkata, program berkenaan mendapat respons positif dengan lebih 400 permohonan layak diterima di Batu Kawan, manakala kira-kira 200 permohonan direkodkan bagi Padang Kota pada tahun lalu.

“Penganjur tidak menetapkan sasaran jumlah penerima kerana ia bergantung kepada pencapaian akademik sebenar pelajar yang memohon.

“Selepas tarikh tutup, semua dokumen akan disemak bagi mengesahkan kelayakan sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

134af700 a488 443e 9b29 878738da7de7 6b07759b 69c2 418d 83be a98315e364c3
Bagi pelajar yang berminat, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Google Form yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang akan dikongsikan.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMMAD