Permohonan FAP pajak Padang Brown terima reaksi positif

Admin

PANTAI JEREJAK – Permohonan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuk memajak Padang Brown di Datuk Keramat sebagai padang rasmi menerima maklum balas positif daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow selepas beliau sendiri meminta persetujuan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang sebentar tadi.

 

 

“Selepas menerima permohonan oleh Presiden FAP (Mohd. Azizudin Mohd. Shariff), saya terus menghantar mesej kepada Datuk Bandar dan jawapan yang diterima adalah positif.

 

 

“Jadi, saya minta FAP untuk ambil langkah susulan dengan MBPP setelah Datuk Bandar memberi jawapan positif, saya rasa banyak perkara yang perlu dibincangkan.

 

 

“Saya lihat ini satu perkara yang akan meringankan beban MBPP untuk mengawal selia dan selenggara padang berkenaan, tetapi mungkin dengan syarat tidak ada keistimewaan khusus yang akan menidakkan pihak lain untuk menggunakannya kerana ia adalah kemudahan awam,” ujarnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan 2022 FAP dekat di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Presiden FAP, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff; Timbalan Presiden FAP, Lau Keng Ee; Ahli-ahli Majlis FAP dan para perwakilan.

 

 

 

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap FAP akan terus memainkan peranannya sebagai entiti pembangunan bola sepak di negeri ini bermula daripada akar umbi serta menjalankan liga peringkat negeri sebagai sukan rakyat.

 

 

Mohd Azizudin sebelum itu membentangkan aktiviti-aktiviti dan kejayaan FAP sepanjang tahun 2022 kepada Ketua Menteri dan para perwakilan.

 

 

Ketika berucap, permohonan menjadikan Padang Brown untuk dijadikan padang rasmi FAP juga disuarakan secara terus kepada Kon Yeow.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD