Permohonan pendahuluan RM100 juta kepada MOF tampung unjuran defisit

Admin
whatsapp image 2025 05 22 at 13.21.21 (1)

GEORGE TOWN – Permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun 2024 adalah untuk menampung unjuran defisit Kerajaan Negeri bagi tahun semasa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa permohonan tersebut adalah selaras dengan ketetapan Perkara 109 (6) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu Kerajaan Negeri.

“Dengan penyaluran pendahuluan tersebut, MOF akan mengurangkan (off set) jumlah pemberian kepada Kerajaan Negeri.

“Pengurangan adalah melibatkan empat pemberian iaitu Pemberian Mengikut Kepala, Bayaran Perkhidmatan, Senarai Bersama dan Pemberian TAHAP pada tahun 2027 sebanyak RM33 juta, tahun 2028 (RM33 juta) dan tahun 2029 (RM34 juta),” katanya sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Gooi Hsiao-Leung dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa bagi memastikan jumlah pendahuluan adalah selari dengan off set MOF, Kerajaan Negeri akan mula mengiktiraf pendahuluan tersebut sebagai Terimaan Bukan Hasil.

“Jumlah ini merangkumi terimaan bukan hasil pada tahun 2027 sebanyak RM33 juta, tahun 2028 (RM33 juta) dan tahun 2029 (RM34 juta),” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF