Permohonan penyelenggaraan layak tidak diabaikan – Exco

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan semua permohonan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih di skim perumahan awam dan swasta yang layak di negeri ini menerima peruntukan sewajarnya.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa pihaknya bersama-sama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) tidak akan mengabaikan mana-mana permohonan penyelenggaraan yang layak di negeri ini.

 

Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membiayai lebih RM330 juta melibatkan 35,000 kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kritikal di seluruh negeri di kelima-lima daerah.

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri bersama-sama LPNPP) akan teruskan usaha supaya permohonan penyelenggaraan (dan naik taraf yang layak) diberikan pertimbangan sewajarnya,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Medan Samak dekat sini pada 12 Mac 2023.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar dan wakil Perbadanan Pengurusan Medan Samak serta penghuninya.

 

Terdahulu, Jagdeep hadir ke Medan Samak bagi mengumumkan kerja-kerja penggantian dan menaik taraf dua unit lif di pangsapuri enam tingkat di Blok 26 dan 28 yang menelan kos sebanyak RM137,000 di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

 

Di Datuk Keramat sahaja, termasuk di Medan Samak ini, sebanyak 614 projek penyelenggaraan dan menaik taraf telah disempurnakan melibatkan nilai hampir RM10 juta.

 

“Oleh itu, saya sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh penduduk di sini, akan memastikan bahawa perkhidmatan kepada rakyat diteruskan termasuk tugas saya sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa.

 

“Selain itu, pada peringkat Persekutuan juga, mereka mempunyai peruntukan yang mana LPNPP dan pihak saya sendiri akan terus bekerjasama erat (dengan Kerajaan Persekutuan) demi memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa,” jelasnya.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu juga berhasrat untuk mengecat semula dua blok pangsapuri di Medan Samak ini.

 

“Saya akan melihat permohonan daripada pihak pengurusan di sini bagi kerja-kerja pengecatan semula blok di sini,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN