Permohonan tanah tambahan untuk Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi bakal diteliti – Ketua Menteri

MACHANG BUBUK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti permohonan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi untuk mendapatkan sebidang tanah lapang bersebelahan pusat jagaan berkenaan.

Beliau menyatakan perkara itu semasa mengadakan lawatan ke pusat jagaan berkenaan di sini sebentar tadi.

“Saya ucapkan tahniah kerana pusat jagaan ini dapat terus beroperasi hasil sumbangan pimpinan badan ini dan orang ramai yang sentiasa memberikan sokongan agar kebajikan warga emas dapat dijaga dengan baik.

Chow Kon Yeow menyantuni warga emas dekat Rumah Sejahtera Permatang Tinggi sempena lawatan singkat ke pusat jagaan berkaitan.

 

“Walaupun kemudahan yang ada di sini agak kurang ‘sempurna’ kerana telah beroperasi selama 60 tahun tetapi sekurang-kurangnya warga emas dapat dijaga dengan baik sekali di sini.

“Justeru, sebagaimana permintaan oleh pihak Majlis (Kebajikan SeMalaysia, MPKSM Negeri Pulau Pinang) untuk dapatkan tanah tambahan, kita akan teliti,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sesi taklimat ringkas tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong serta Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.

Terdahulu, Kon Yeow turut dibawa melawat sekitar pusat jagaan berkenaan untuk melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang ada termasuk asrama, dewan, kebun serta stor penyimpanan stok belakan makanan khusus untuk penghuni di pusat jagaan berkenaan.

Tan Yong Seng.

Dalam lawatan itu juga, Khai Loon turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Rumah Sejahtera Permatang Tinggi bagi mengurangkan beban sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua MPKSM, Datuk Tan Yong Seng ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu bahawa permohonan tanah tambahan tersebut adalah bagi mewujudkan ruangan hijau sebagai sebahagian daripada kemudahan untuk warga emas beristirahat dan bercucuk tanam.

“Kita harap Kerajaan Negeri dapat meneliti dan meluluskan penggunaan tanah lapang seluas kira-kira 0.33 ekar di sebelah pusat jagaan ini yang dipohon secara Lesen Pendudukan Sementara (Tol) ini demi kemudahan penghuni di sini,” katanya.

Difahamkan, Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi mula beroperasi sejak tahun 1961 dan menempatkan 70 warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Setiap penghuni yang diterima masuk ke pusat jagaan tersebut juga perlu mendapat pengesahan kesihatan daripada pihak hospital kerajaan.

Kesemua penghuni juga dibenarkan menetap di pusat jagaan berkenaan sehingga ke akhir hayat mereka.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALVIE CHENG