Peroleh kembali kepercayaan pelancong, Kerajaan Negeri lancar Kempen Pelancongan Bertanggungjawab

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini melancarkan Kempen Pelancongan Bertanggungjawab dalam usahanya memastikan kesiapsiagaan normal baharu dipatuhi serentak dengan pembukaan semula industri berkenaan kepada pelancong tempatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada majlis pelancarannya sebentar tadi di sini berkata bahawa ke arah mencegah penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan khususnya bagi memastikan garis panduan serta langkah-langkah keselamatan yang sesuai diambil.

Menurut beliau, pendekatan tersebut merupakan langkah penting dalam usaha memperoleh kembali kepercayaan para pelancong pada tempoh pasca COVID-19 kini, di samping membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi pelancongan negeri.

“Apabila pelancong benar-benar yakin akan segala kesiapsiagaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri selamat, maka dengan keyakinan itulah kita (Pulau Pinang) dapat mengalu-alukan mereka (pelancong) ke sini.

“Diharap bilangan pelancong tempatan ke Pulau Pinang akan kian bertambah kerana ia amat penting untuk masa depan negeri.

“Pada 100 hari yang lalu, kita (Kerajaan Negeri) sentiasa mencari ikhtiar untuk mewujudkan keseimbangan di antara kesihatan perubatan dan kesihatan ekonomi, kedua-duanya adalah tunjang penting untuk Pulau Pinang.

“Justeru, tanggungjawab dan kesiapsiagaan ini diharap akan membantu industri pelancongan negeri kembali rancak sejajar dengan permintaan industri kelak,” ujarnya pada ucaptama Majlis Pelancaran Kempen Pelancongan Bertanggungjawab dan Upacara Penyampaian Sijil Untuk Sistem Akreditasi Bagi Kesiapsiagaan COVID-19 di Pulau Pinang yang berlangsung dekat Pusat Membeli-belah Queensbay sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Jonathan Freddy P. Bagang (Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pulau Pinang).

Serentak itu, pengusaha hotel, pihak pengurusan pasar raya dan pihak berkepentingan sektor pelancongan turut menerima Sijil Sistem Akreditasi Bagi Kesiapsiagaan COVID-19 masing-masing.

Bercakap pada sidang media berasingan, Soon Hin memberitahu bahawa kebenaran melintas negeri yang diumumkan Kerajaan Persekutuan memberi impak positif kepada sektor pelancongan domestik negeri.

“Rata-rata maklum balas yang diterima daripada pihak hotel adalah positif yang mana kebanyakan daripada mereka berpuas hati dengan jumlah kedatangan pelancong setakat ini,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI