GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri mahu aspek penyertaan belia, wanita serta pembabitan masyarakat pelbagai kaum dalam struktur komuniti terus diberi perhatian.
Ini adalah agar agenda perpaduan dapat dilaksanakan secara lebih inklusif, menyeluruh dan berdaya tahan.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, dalam memperkasakan agenda berkenaan, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan peranan komuniti setempat.
“Ini melalui kerjasama erat bersama lebih 527 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 375 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta rangkaian Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negeri.
“Kekuatan jaringan komuniti ini amat penting dalam memastikan agenda perpaduan, keselamatan komuniti dan kesejahteraan rakyat dapat terus diperkasakan secara berkesan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya percaya bahawa perpaduan tidak seharusnya hanya dizahirkan ketika sambutan perayaan atau program rasmi semata-mata, sebaliknya perlu terus dipupuk sebagai budaya hidup harian demi memastikan Pulau Pinang kekal aman, stabil dan bersatu padu.
“Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan termasuk Program Unity Walk, Irama Perpaduan, Program Ikatan Syawal bersama Kawasan Rukun Tetangga serta Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam suasana harmoni, inklusif serta penuh semangat kebersamaan.
“Kita akan terus menyokong pelbagai program dan aktiviti berteraskan perpaduan masyarakat bagi memastikan semangat keharmonian yang dinikmati hari ini dapat terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti, malah menyemai nilai toleransi, semangat muhibah dan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat negeri ini melalui pembabitan masyarakat secara langsung,” jelasnya.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: DARWINA. MOHD DAUD