Perpustakaan Awam Pulau Pinang No.1 di Malaysia

Admin
SHUKRIAH Yon
SHUKRIAH Yon.

STATUS Perpustakaan Awam Pulau Pinang yang dikatakan mempunyai sistem pinjaman mesra pelanggan terbaik yang bukan sahaja di negeri ini, bahkan di Malaysia menarik minat Buletin Mutiara (BM).

Ikuti wawancara wartawan BM, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN bersama Pengarah Perbadanan Perpusatakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Shukriah Yon di Seberang Jaya baru-baru ini.

BM : Berdirinya perpustakaan ini lebih 30 dekad tentu banyak rekod kecemerlangan yang berjaya ditempa. Bolehkah Puan menjelaskan hal ini.

SHUKRIAH : Sejak ditubuhkan pada tahun 1972, perbadanan berkembang dengan pesatnya dan kini mempunyai satu jaringan rangkaian perpustakaan elektronik, mampu mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, di mana setiap perpustakaan dapat dihubungi secara atas talian. Semua 107 buah perpustakaan dilengkapi komputer dengan capaian internet.

Paling menarik, perpustakaan di negeri ini merupakan yang pertama di Malaysia menggunakan MyID atau Mykad dan Mykid sebagai kad keahlian perpustakaan. MyID juga digunakan sebagai satu nombor rujukan untuk perkhidmatan pinjaman, sumber media, jurnal elektronik, mikrofilem dan internet.

Rekod kecemerlangan, ada. PPAPP pernah dipilih sebagai Johan Anugerah Pengurusan Kaunter Sempena Majlis
Anugerah Kualiti Sektor Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 20 Ogos 2009; menerima anugerah Perpustakaan Paling Aktif Melaksanakan Program Galakan Membaca Sempena Seminar Inisiatif Digital Memperkasakan Pembangunan dan Perkhidmatan Perpustakaan pada 13 Disember 2010; menerima Pengiktirafan Antarabangsa Second Runnerup IFLA Poster Session di WLIC : 73rd IFLA 2007, Anugerah Emas Kategori Perpustakaan Awam Konvensyen ICC Perpustakaan SeMalaysia ke-2 pada tahun 2009, mendapat anugerah 4 bintang Pencapaian Laman Web Jabatan oleh MDEC pada tahun 2010.

BM : Puan ada mengatakan bahawa 107 perpustakaan kecil dirangkaikan secara ‘online internet’, boleh Puan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sistem tersebut.

SHUKRIAH : PPAPP merupakan perpustakaan awam yang pertama di Malaysia merangkaikan semua pusat perkhidmatannya (107 buah) yang terdiri daripada perpustakaan pusat di Seberang Jaya, perpustakaan  cawangan (5) iaitu di George Town, Balik Pulau, Jawi, Bukit Mertajam dan Bertam, Perpustakaan Kanak-Kanak (1), di Jalan Scotland, perpustakaan pekan (2) di Simpang Ampat dan Bagan Ajam, perpustakaan beli belah (3) di Komtar, Bayan Baru dan Eon Jaya Jusco, Seberang Perai, perpustakaan desa/komuniti siber ilmu negeri (49),
perpustakaan desa PNM (34) dan perpustakaan bergerak (12) (2 khusus untuk OKU dan sebuah E-Pustaka) yang
memberi perkhidmatan perpustakaan di 238 lokasi di negeri Pulau Pinang secara atas talian dengan sistem perpustakaan bersepadu dan juga melalui portal PPAPP.

Semua pusat perkhidmatan kami mempunyai ‘Remote Desktop Connection’ dan WiFi/Broadband bagi pangkalan data Sistem ILMU dan penggunaan teknologi RFID. Oleh itu, semua perpustakaan boleh mengakses sistem yang sama untuk merujuk dan mengemaskini rekod pengguna, peminjaman, pemulangan, rizab, ‘patron enquiry’ dan perkhidmatan– perkhidmatan perpustakaan lain. Pengguna juga boleh meminjam dan memulangkan bahan bacaan di mana-mana pusat perkhidmatan Perbadanan selain di peti buku secara online ‘Book Drop’ yang disediakan di Perpustakaan Pusat, Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Pekan dan Siber Ilmu KOMTAR. Apa yang diamalkan adalah konsep ‘Ubiquitious Library’ tanpa sempadan waktu dan lokasi –’Anywhere, Anytime’.

 

BM : Kalau tidak salah perbadanan ini menerima beberapa anugerah ISO disebabkan sistem perkhidmatan yang berkualiti untuk seluruh rakyat Pulau Pinang.

SHUKRIAH : Kita pernah menerima sistem kualiti MS ISO 9002:1994 pada Julai 2002 oleh SIRIM. Perbadanan kemudiannya telah melaksanakan peralihan standard MS ISO 9002:1994 kepada MS ISO 9001:2000 pada  September 2003. Pada Mac 2005, Perbadanan telah menerima pengiktirafan sistem kualiti ISO 9001:2000.

Perbadanan turut mendapat persijilan ISO 9001:2008 daripada BM Trada pada tahun 2011 yang sah sehingga 6 Mac 2014. Perbadanan juga telah memperoleh persijilan MS ISO 9001:2008 di bawah skop ‘Penyediaan Perkhidmatan Perpustakaan dan Informasi’ yang meliputi semua perpustakaan di bawah pentadbiran PPAPP.

SHUKRIAH Yon bergambar di salah satu sudut perpustakaan pusat Seberang Jaya di sini.
SHUKRIAH Yon bergambar di salah satu sudut perpustakaan pusat Seberang Jaya di sini.

BM : Apakah harapan dan hasrat Puan mengenai perbadanan dan mungkin mengenai Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru ini.

SHUKRIAH : Dalam menentukan dasar dan arah tuju PPAPP, pelbagai aspek telah diambilkira terutama perkembangan semasa serta keperluan dan kehendak pelanggan iaitu masyarakat Pulau Pinang. Pelbagai perkhidmatan, program dan aktiviti telah dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan peranan serta tanggungjawab PPAPP dapat memenuhi kehendak semua pelanggan.

Kalau boleh, saya mahu perbadanan ini menjadi pusat inovasi dan kecemerlangan ilmu sebagaimana harapan Kerajaan Negeri mahu melahirkan masyarakat pintar dan bestari di negeri ini. Budaya membaca, berfikir dan menghasilkan sesuatu yang ‘baru’ mesti dijadikan budaya masyarakat di semua peringkat tanpa mengira usia, bangsa, agama hatta status ekonomi.