Perpustakaan Digital Butterworth tarik 14,000 pengunjung sejak dibuka Julai lalu

Admin

BAGAN DALAM – Perpustakaan Digital Butterworth (BDL) telah menarik kehadiran 14,000 pengunjung sejak dibuka kepada umum pada 15 Julai lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perangkaan berkaitan menunjukkan bahawa BDL menerima sambutan yang baik daripada orang awam walaupun dibuka hanya beberapa bulan lalu.

“Ketiga-tiga perpustakaan digital di bahagian pulau juga menerima sambutan yang begitu menggalakkan dengan merekodkan setengah juta pelawat sejak ditubuhkan pada Oktober 2016 sehingga September 2020.

Chow Kon Yeow bersama-sama dif-dif jemputan menyantuni salah seorang pengunjung BDL selepas perasmian perpustakaan digital pertama di Seberang Perai, di sini sebentar tadi.

“Tiga perpustakaan digital tersebut ialah Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) Fasa 1, PDL Fasa 2 dan Perpustakaan Digital Batu Maung.

“Ekoran sambutan menggalakkan yang ditunjukkan ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk berkongsi manfaat dan keterujaan sama dengan penduduk di Seberang Perai dengan menubuhkan BDL.

“Lebih membanggakan lagi, konsep perpustakaan tanpa buku ini turut menjadi ikutan negeri jiran seperti Kedah,” katanya semasa merasmikan pembukaan BDL di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar serta Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mohamud; Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed serta Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Dato’ Seri Maimunah Sharif juga turut hadir.

Antara kemudahan yang terdapat di BDL.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa beberapa inisiatif kerjasama telah dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Negeri untuk menambah baik perkhidmatan dekat perpustakaan digital di negeri ini.

“Antaranya, kolaborasi bersama Perpustakaan Negara Malaysia untuk perkongsian koleksi digital sebanyak 13.2 juta unit.

“Selain itu, terdapat juga cadangan kolaborasi di antara British Council dan BDL untuk menggunakan sebahagian ruang bagi kelas Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya sebelum itu mengatakan bahawa pembinaan perpustakaan digital adalah bukti kejayaan projek usahasama awam swasta (PPP) di negeri ini.

“Ia juga merupakan bukti kejayaan transformasi kawasan bandar usang kepada satu kawasan yang boleh mencapai status antarabangsa,” katanya.

Difahamkan, BDL yang menelan kos RM6.6 juta dibangunkan dengan kerjasama MBSP, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Think City Sdn. Bhd..

Rupa bentuk BDL.

Dengan keluasan keseluruhan kira-kira 20,000 kaki persegi, BDL turut dilengkapi dengan infrastruktur berteknologi tinggi dan sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Malah, fasiliti di sini juga adalah mesra orang kelainan upaya (OKU) dengan kemudahan khas serta lif.

BDL dibuka kepada orang awam dari jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan serta imbasan kod QR.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD