Persatuan Berbasikal Negeri terima tajaan lima unit basikal lumba Battle Surmo-Co

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Berbasikal Negeri Pulau Pinang menerima tajaan lima unit basikal lumba daripada syarikat swasta, RK South Asia Sdn. Bhd. sebagai persiapan menghadapi kejohanan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, beliau bersyukur dan menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak syarikat terbabit dalam membangunkan mutu sukan negeri.

 

“Pembangunan sektor sukan memerlukan peruntukan yang tinggi, oleh yang demikian Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan lagi mutu sukan di negeri ini.

 

“Saya yakin dengan sumbangan dan sokongan daripada pihak syarikat RK South Asia Sdn. Bhd. ini, atlet berbasikal negeri dapat memanfaatkan sepenuhnya bagi latihan sekali gus bersedia meraih lebih banyak pingat serta kegemilangan untuk negeri kita,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 8 Mac 2023.

SOON Lip Chee (tengah, kemeja merah) merakam kenangan bersama-sama para atlet berbasikal negeri dan wakil daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta penaja.

 

Difahamkan, pihak RK South Asia Sdn. Bhd. bersama-sama RK Takasago Chain menaja lima unit basikal lumba model Battle Surmo-Co yang lebih ringan dan berketangkasan tinggi, sesuai digunakan dalam mana-mana pertandingan serta memenuhi piawaian basikal Eropah.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan RK South Asia, Datuk Lee Thian Chai berkata pihaknya menyokong pembangunan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

 

“Sebagai contoh, dengan menyediakan penajaan peralatan sukan yang mana melalui inisiatif ini kami turut dapat mengumpul maklumat dan pandangan atlet mengenai penggunaan peralatan sukan.

 

“Maklumat yang diperoleh ini juga akan dikaji supaya kami boleh meningkatkan lagi mutu peralatan dan kelengkapan sukan baharu yang boleh memacu pembangunan sukan tempatan,” jelasnya.

 

Soon Lip Chee (kiri) mendengar taklimat daripada wakil syarikat penaja mengenai spesifikasi basikal berkenaan sejurus selesai majlis penyerahannya di sini.

 

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua berkata, persatuan-persatuan sukan di negeri ini sentiasa menghadapi masalah kekurangan peralatan sukan atau peralatan sukan telah lama.

 

“Walaupun Kerajaan Negeri dan MSNPP memberikan peruntukan setiap tahun untuk menggantikan peralatan yang lama, namun masih terdapat sesetengah peralatan sukan yang perlu digantikan dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan teknologi terkini,” katanya.

 

Gambar : Pejabat EXCO