Persatuan Berbasikal Pulau Pinang tuai dua perak selepas lima tahun program pembangunan atlet

MUNIR Mohd Ismail (belakang, tiga dari kiri) dan anggota skuad berbasikal negeri Pulau Pinang merakamkan gambar kenangan selepas majlis penyampaian pingat di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada 20 September 2022.

NILAI, NEGERI SEMBILAN – Atlet trek berbasikal Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan, 19, menghadiahkan dua pingat perak kepada Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri bagi acara 500 meter (m) ujian masa dan acara pecut wanita yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia pada 20 September 2022.

NURUL Aliana Syafika Azizan
MUNIR Mohd. Ismail

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Setiausaha Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Munir Mohd. Ismail memberitahu bahawa pencapaian tersebut adalah antara hasil program pembangunan atlet negeri yang dilaksanakan sejak tahun 2016 di Pulau Pinang.

“Kali terakhir skuad berbasikal (negeri Pulau Pinang) dapat pingat adalah dalam (SUKMA) 2006.

“Apabila kita (skuad berbasikal Pulau Pinang) dapat dua pingat ini, memang hasil perancangan sebenarnya.

“Atlet (Nurul Aliana Syafika) yang berjaya mendapat dua pingat (perak) pada hari ini adalah antara atlet yang mengikuti program pembangunan atlet negeri sejak tahun 2016.

“Program pembangunan atlet negeri yang kita (Persatuan Berbasikal Pulau Pinang) dan berselang seli dengan (program pembangunan atlet pelapis) JCM (Junior Cycling Malaysia).

“Jadi, Nurul Aliana Syafika boleh dikatakan lahir dari program Junior Cycling Malaysia juga iaitu suatu program pembangunan atlet pelapis yang dimulakan bermula peringkat umur 13 tahun, di bawah 15 tahun, di bawah 17 tahun sampai peringkat SUKMA (21 tahun ke bawah),” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang turut memberi pelbagai bentuk sistem sokongan buat pembangunan para atlet trek berbasikal di negeri ini.

Di samping itu, beliau berharap beberapa acara berbaki yang dijadual berlangsung nanti turut akan menambah koleksi pingat skuad berbasikal negeri.

Difahamkan, Persatuan Berbasikal Pulau Pinang sempena SUKMA Ke-20 dilaporkan menyasarkan satu pingat gangsa sahaja.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI