Tuntut Putrajaya tunai ‘janji berkembar’ PM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Putrajaya terus dituntut untuk menunaikan ‘janji berkembar’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas kononnya demi rakyat Pulau Pinang, iaitu membina 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorail awam.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Kerajaan Pusat selepas tahun 2008 hanya membina 70 unit rumah kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri berkenaan.

“Yang (dibina) hanya 70 unit (PPR), iaitu iaitu jumlah yang paling kecil di antara semua negeri di Malaysia,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Pameran Hartanah Malaysia Pulau Pinang 2014 (MAPEX) di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan) dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan Dr. Teoh Poh Huat (Pengarah Henry Butcher Pulau Pinang).

Walaupun rakyat Pulau Pinang seakan dilayan dingin oleh Kerajaan Pusat, Guan Eng berkata, projek pembangunan bercampur termasuk pengoperasian gedung perabut terkemuka dunia IKEA di Taman Perindustrian Batu Kawan serta pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam tempoh terdekat ini diharap turut mengembangkan ekonomi di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, pengenaan levi 3 peratus kepada bukan warganegara serta 2 peratus kepada warganegara yang menjual hartanah dalam masa tiga tahun selepas 1 Mac depan sebenarnya demi melindungi kepentingan pembeli sebenar rumah mampu milik di negeri ini.

Pada majlis sama, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada Jerry dan Poh Huat atas penganjuran pameran antarabangsa MAPEX tersebut.